SUKAN > BERITA

NUR ADRIANA SOFEA TERIMA INSENTIF RM7,000 DARIPADA PERSATUAN LUMBA BASIKAL NS

06/10/2024 03:09 PM

SEREMBAN, 6 Okt (Bernama) -- Atlet berbasikal BMX Negeri Sembilan Nur Adriana Sofea Abdul Hakim, yang memenangi pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak menerima insentif RM7,000 daripada Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS). 

Presiden PLBNS Khairy Jamaluddin berkata pemberian insentif itu adalah sebagai penghargaan atas penat lelah atlet berkenaan dalam mengharumkan nama negeri. 

Beliau berkata pemberian insentif kemenangan ini diharapkan dapat memberikan motivasi dan meningkatkan semangat atlet berbasikal lain untuk terus berusaha dengan lebih gigih bagi mencipta banyak kejayaan.

“Malaysia mempunyai sejarah yang baik di peringkat Olimpik, sukan berbasikal negara adalah acara yang menyumbang pingat pada temasya sukan paling berprestij di dunia itu.

“Prestasi sukan basikal di negeri ini masih boleh diperbaiki dari semasa ke semasa, dan kita komited melaksanakan perlumbaan Jelajah Negeri Sembilan saban tahun untuk mengilap bakat sedia ada dan mencungkil bakat baharu,” katanya di sini hari ini.

Nur Adriana Sofea ketika dihubungi melahirkan rasa syukur dengan pemberian itu, dan menyifatkan hadiah istimewa buat dirinya dalam arena sukan berbasikal sejak berumur 10 tahun.

Atlet berusia 18 tahun itu akan melanjutkan pelajaran di Kolej Poly Tech Mara (KPTM) Ipoh dalam jurusan Perniagaan Digital pada November ini, berkata insentif berkenaan akan disimpan untuk kegunaan masa hadapan.

Beliau turut menjadikan atlet berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang dan atlet berbasikal Colombia Mariana Pajon sebagai idola, dan berharap akan lebih cemerlang dalam karier sukan berbasikal pada masa akan datang.

Nur Adriana Sofea berkata dia akan berusaha mempertahankan pingat emas pada SUKMA 2026 dan berharap berpeluang beraksi pada Sukan SEA 2027.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan