AM > BERITA

MAIWP Santuni Tiga Keluarga Kurang Bernasib Baik

06/10/2024 05:02 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus komited menyantuni golongan asnaf termasuk tiga keluarga kurang bernasib baik di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin menerusi Program Ziarah Asnaf, di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata MAIWP sentiasa menitikberatkan kebajikan golongan asnaf termasuk memberikan bantuan kewangan dan keperluan asas kepada golongan berkenaan. 

"MAIWP terus membantu golongan asnaf kerana Ini adalah amanah yang diberikan kepada MAIWP untuk mengagihkan wang zakat," katanya. 

Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif  MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya. 

Beliau turut menekankan kepentingan masyarakat untuk turut menyantuni keluarga asnaf yang merupakan sebahagian daripada semangat diajar agama Islam untuk saling membantu mereka memerlukan. 

Mohd Na'im berharap semua pihak membantu MAIWP untuk mengenal pasti golongan asnaf termasuk media yang dapat membantu menerusi hasil penulisan bagi perhatian pihak sewajarnya. 

Pada program itu, beliau menyampaikan bantuan tahunan kepada Ramli Yusof, 74, dan isterinya Shopiah Bakri, 66, berjumlah RM15,264 bagi menampung kelangsungan hidup pasangan itu yang diuji masalah kesihatan. 

"Ramli menghidap penyakit buah pinggang, darah tinggi, kencing manis dan kurang daya ingatan manakala isterinya pesakit darah tinggi, kencing manis dan turut berdepan masalah saraf di tangan," katanya. 

Selain itu, turut disampaikan sumbangan bulanan lebih RM2,000 kepada pesakit kanser usus tahap empat Awaluddin Ismail, 44 dan menziarahi pesakit kencing manis Jamal Sulaiman, 50, yang turut menerima bantuan kewangan bulanan serta bantuan persekolahannya anaknya berjumlah lebih RM21,000 setahun.

"MAIWP juga memberikan bantuan kerusi roda baharu bagi memudahkan pergerakannya ke klinik, selain seorang daripada anaknya yang menghadapi masalah kewangan untuk melanjutkan pelajaran telah ditawarkan oleh pihak MAIWP untuk belajar dalam bidang kulinari, sesuai dengan minatnya," katanya. 

Selain itu, Mohd Na’im juga ke PPR Air Panas di sini, bagi menyantuni Mohamad Khairul Azman Jamaludin, 30, yang sebelum ini tular kerana menetap di pondok usang bersama isteri dan tiga anak berusia antara setahun ke lima tahun. 

MAIWP pada Ogos lepas, telah menyampaikan bantuan kepada Mohd Khairul Azman termasuk bantuan sewaan rumah PPR itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan