SUKAN > BERITA

SUKAN HAWANA: BERNAMA RANGKUL KEJAYAAN BERGANDA

27/10/2024 07:54 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Kerjasama berpasukan yang mantap menjadi kunci kejayaan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merangkul kejayaan berganda pada Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah (9s) (lelaki) dan Bola Jaring (wanita) Antara Media sempena Sukan HAWANA hari ini. 

Bernama A memenangi acara bola sepak 9s setelah menewaskan Media Perak 3-2 menerusi sepakan penalti selepas terikat 0-0 manakala Bernama Bullet muncul juara bagi sukan bola jaring apabila mengalahkan Karangkraf 7-4. 

Pemenang tempat ketiga bagi kejohanan bola sepak 9s ialah FINAS FC diikuti Fahmi Fadzil FC di tempat keempat manakala pasukan MITI dan Bernama Net Force masing-masing di kedudukan ketiga dan keempat dalam acara bola jaring.

Ketua pasukan Bernama A Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif berkata beliau dan anak buahnya bangga kerana berjaya menghasilkan ‘senyuman’ untuk Bernama setelah sekian lama tidak menjuarai kejohanan bola sepak.

Beliau berkata pasukan itu, yang ditubuhkan selepas Majlis Kebajikan Dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Wilayah Persekutuan (MAKSWIP) pada Ogos lepas, menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan semangat tidak mudah menyerah kalah walau apa jua cabaran yang dihadapi.

“Kami dedikasikan kemenangan kepada Bernama sendiri sebab sudah lama tidak menang acara bola sepak. Kemenangan ini sangat manis dan positif sebab ia bersama rakan sepasukan,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah di Brainy Bunch Melawati di sini hari ini. 

Ketua pasukan Bernama Bullet Nor Fadhilah Ibrahim pula bersyukur apabila usaha gigih mereka yang berlatih setiap Isnin dan Khamis sejak sebulan lepas membuahkan hasil.

“Kami mula berlatih sebaik sahaja Kejohanan Bola Jaring Bernama tamat bulan lepas. Dari situ, kami kembali membina keserasian antara satu sama lain sebab rakan sepasukan ada yang berubah,” katanya. 

Pemain Bernama terdiri daripada petugas di Jabatan Pengarang, Jabatan Penyiaran dan Hal Ehwal Korporat. 

Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, yang turut mengambil bahagian dalam acara bola sepak 9s bersama pasukan Bernama C, berkata beliau berpuas hati kerana kejohanan tersebut mendapat sambutan menggalakkan meskipun buat julung kali diadakan selain tidak menyangka agensi berita itu mampu menyerlah untuk mencipta kejayaan yang membanggakan.

“Kelab bola sepak dan bola jaring memang aktif sebelum COVID-19 tetapi sejak tahun lepas, kita kembali ‘hidup’ apabila menganjurkan banyak perlawanan persahabatan. Kami akan terus anjurkan sukan sekerap mungkin,” katanya. 

Kejohanan itu, yang dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin, menerima sebanyak 17 penyertaan bagi acara bola sepak 9s dan sembilan bagi bola jaring.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Bernama Nasriah Darus. 

Juara bola sepak 9s membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta pingat dan piala; naib juara wang tunai RM2,000 berserta pingat manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing membawa pulang RM1,000 dan RM800 berserta pingat.

Bagi bola jaring, pemenang utama membawa pulang RM2,000 berserta pingat dan piala; naib johan RM1,000 berserta pingat manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing meraih RM500 dan RM400 berserta pingat.

Hari Wartawan Nasional (HAWANA), yang pertama kali disambut pada 11 April 2018, bertujuan meraikan jasa dan pengorbanan komuniti media serta mengangkat martabat profesionalisme kewartawanan negara selain menjadi platform untuk mereka berkumpul serta membincangkan isu semasa yang dihadapi industri.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan