SUKAN > BERITA

YONG XIN IDAM PENAMPILAN SUKAN OLIMPIK REMAJA 2026

04/11/2024 01:22 PM

NANTONG (China), 4 Nov (Bernama) -- Atlet pelapis wusyu wanita negara Kwan Yong Xin bertekad mempersiapkan dirinya yang mempunyai baki dua tahun sebelum menyertai Sukan Olimpik Remaja (YOG) 2026 di Dakar, Senegal.

Atlet berusia 16 tahun itu berkata tempoh itu akan digunakan sepenuhnya untuk  mencapai satu standard tinggi dalam menguasai disiplin taiji yang beliau sifatkan belum lagi berada di tahap memuaskan.

"Sasaran saya adalah cuba melayakkan diri untuk sertai Olimpik Remaja 2026, peluang pertama dan terakhir buat saya kerana ia untuk atlet berusia 15 hingga 18 tahun sahaja.

"Penyertaan saya dalam disiplin taiji tidak lah begitu lama seperti atlet wusyu sedia ada, jadi saya perlu capai satu standard dalam masa dua tahun ke hadapan. Semasa Kejohanan Remaja Dunia pun saya dapat tempat kelima dalam dua disiplin taiji disertai," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata peralihan disiplin daripada jiangshu dan qiangshu kepada taiji semasa beliau berusia 13 tahun itu bersandarkan nasihat bekas jurulatih ketika itu Loh Jack Chang yang merasakan ia lebih bersesuaian buat dirinya.

Terdahulu, Yong Xin bagaimanapun membuktikan dirinya menunjukkan peningkatan dalam displin itu apabila membantu kem wusyu negara meraih pingat emas acara taijiquan wanita Kejohanan Wusyu ASEAN-China di Universiti Nantong di sini semalam.

Yong Xin mencatat kutipan mata 8,590 menewaskan dua wakil Singapura masing-masing dengan 8,580 dan 8,570 mata.

Malaysia turut meraih dua lagi pingat emas pada hari pertama kejohanan itu menerusi Sydney Chin Sy Xuan dalam acara taijiquan wanita kategori berbeza serta Wong Zi Hong dalam acara taijiquan lelaki.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan