SUKAN > BERITA

NUR DHABITAH TERBUKA BERGANDINGAN DENGAN GABRIEL

04/11/2024 06:37 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Penerjun negara Nur Dhabitah Sabri terbuka untuk berpasangan dengan Gabriel Gilbert Daim pada mana-mana kejohanan atau temasya sukan selepas ini.

Nur Dhabitah berkata beliau senang bekerjasama dengan Gabriel dan saling membantu antara sama lain di dalam kejohanan ataupun sesi latihan sebelum ini.

“Saya nak ucapkan terima kasih dan sangat berbangga dengan Gabriel kerana jika diikutkan sudah lama beliau tidak bertanding.

“Saya sangat puas hati dan gembira dapat habiskan pertandingan ini seperti dirancang. Sudah lama tidak bergandingan (dengan Gabriel), tetapi sekarang kami sama-sama kembali,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Nur Dhabitah mengungguli acara 3 meter (m) papan anjal seirama campuran Bersama Gabriel, sekali gus melengkapkan emas hatriknya pada Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia kali kedua di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil di sini.

Nur Dhabitah-Gabriel mengutip 242.10 mata untuk merangkul emas dengan mengetepikan cabaran dari gandingan Indonesia Aldinsyah Putra Rafi-Gladies Lariesa Garina yang mendapat pingat perak (230.40 mata) dan Max Lee-Alycia Lim dari Singapura pula membawa pulang gangsa (202.08 mata).

Nur Dhabitah merangkul emas pertama menerusi acara berpasukan campuran Sabtu lepas diikuti acara 3m papan anjal seirama wanita bersama Ong Ker Ying pagi tadi.

Kali terakhir Nur Dhabitah-Gabriel bergandingan adalah ketika membawa pulang gangsa 3m papan anjal seirama campuran pada kejohanan Grand Prix Terjun FINA (Persekutuan Renang Antarabangsa) 2017 di Gold Coast, Australia.

Sementara itu, Gabriel mengakui beliau kini masih dalam fasa pemulihan susulan kecederaan tulang belakang dialaminya sewaktu menjalani persediaan menghadapi Sukan Asia Hangzhou 2022 tahun lepas.

Biarpun sudah lama tidak beraksi, namun atlet dari Kota Kinabalu itu berpuas hati dengan prestasi dilakarnya selepas kali terakhir bertanding pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun.

Bekas pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu berharap agar segera pulih dari kecederaan untuk membantunya fokus bagi menghadapi Sukan Asia 2026 di Jepun.

Sementara itu, seorang lagi penerjun negara Jellson Jabilin memenangi acara 10m platform lelaki dengan mencatatkan 397.50 mata bagi menumpaskan rakan sepasukannya Enrique Maccartney Harold yang memperoleh perak (391.15 mata) dan gangsa milik Nishida Reo dari Jepun (353.70 mata).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan