SUKAN > BERITA

PKBM PERLU PUTUSKAN PENYENARAIAN AZIZULHASNI DALAM PROGRAM PODIUM HUJUNG TAHUN

18/12/2024 01:56 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) memberi masa sehingga hujung tahun ini kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk memutuskan penyenaraian jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam Program Podium tahun depan.

Timbalan Ketua Pengarah MSN (Pembangunan Sukan) Jefri Ngadirin berkata sekiranya pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu bersetuju untuk kekal di dalam program berkenaan, beliau perlu mengikut petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan MSN termasuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di Santiago, Chile, Oktober tahun depan.

"Sebagaimana atlet-atlet lain, mereka ada KPI masing-masing yang perlu dicapai dan kami juga letakkan KPI kepadanya (Mohd Azizulhasni) yang boleh dicapai. Jadi, kalau beliau bersetuju dengan KPI yang ditetapkan dan setuju terima syarat berkenaan, kami akan tawarkannya untuk masuk ke Program Podium.  

"Kami akan kemukakan tawaran (ke Program Podium) pada 1 Januari, jadi dalam masa terdekat ini kami akan minta persatuan berhubung dengan beliau," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Jelajah Juara Esports Malaysia 2024 di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan PKBM dan MSN bersetuju untuk mengekalkan atlet berusia 36 tahun itu dalam Program Podium tahun depan namun mengemukakan syarat untuk beliau melayakkan diri ke Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2025.

Dalam pada itu mengulas berhubung penganjuran Jelajah Juara Esports Malaysia 2024 yang memasuki edisi kedua, beliau berkata ia merupakan kejohanan pembangunan untuk mengembangkan ekosistem e-sukan dengan lebih berstruktur.

"Saya tidak menolak mungkin ada antara mereka akan mewakili negeri masing-masing di Sukan Malaysia (SUKMA) ataupun mewakili negara di temasya atau kejohanan e-sukan. Jadi kita akan lihat perkembangan mereka nanti," katanya.

Sebanyak dua permainan e-sukan dipertandingkan di kejohanan itu iaitu E-football dan Gran Turismo konsol PlayStation 5 selain tiga sukan fizikal terdiri daripada sepakan penalti, 100 meter (m) individu dan 4x100m melibatkan 144 peserta dari seluruh negara. 

Kejohanan yang berlangsung dari 18-22 Dis itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM15,000.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan