SUKAN > BERITA

HANNAH GESA PEMAIN BANGKIT SELEPAS TERSINGKIR AWAL DI ALL ENGLAND

15/03/2025 11:36 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Para pemain badminton negara perlu melakukan persediaan lebih awal sebelum bertanding, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, selepas cabaran Malaysia dalam saingan All England berakhir di peringkat suku akhir.

Hannah yang kecewa dengan keputusan itu berkata sukan badminton semakin kompetitif yang menyaksikan persaingan antara negara kian sengit malah pemain berstatus ranking tertinggi dunia juga tersingkir di pusingan awal.

“Jadi saya rasa atlet badminton kita tidak boleh take for granted, tidak boleh berada dalam zon selesa, kena berlatih lebih kuat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) di Arena Lawn Bowls Bukit Kiara di sini malam ini.

Cabaran Malaysia dalam kejohanan itu berakhir selepas dua wakil terakhir negara iaitu beregu wanita Pearly Tan-M.Thinaah dan beregu campuran profesional Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie masing-masing tersingkir di peringkat suku akhir, semalam.

Rabu lepas, pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia dan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik, antara yang tersingkir seawal pusingan pertama.

Kali terakhir wakil Malaysia menjuarai kejohanan itu adalah pada 2021 apabila Zii Jia menewaskan Viktor Axelsen dari Denmark dalam perlawanan akhir. 

Tahun ini menyaksikan kali pertama sejak 2018 tiada wakil negara berjaya melangkah ke separuh akhir. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan