SUKAN > BERITA

MUHAMMAD SHAH FIRDAUS RAIH EMAS PIALA NEGARA-NEGARA UCI

16/03/2025 09:58 AM

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Pelumba berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom mencipta detik kecemerlangan apabila meraih pingat emas acara keirin pada kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Konya, Turkiye awal pagi ini.

Pelumba berusia 29 tahun itu mempamerkan kayuhan bertenaga untuk meloloskan diri daripada kepungan empat pelumba lain sebelum memintas pesaingnya beberapa meter sebelum garisan penamat di Velodrom Konya.

Ia adalah emas pertama dimenangi pelumba yang diberi julukan The Terminator itu pada kejohanan UCI sekali gus menandakan pencapaian terbesar dalam kerjayanya setakat ini.

Pemenang pingat gangsa acara pecut berpasukan Olimpik Tokyo 2020, Sebastien Vigier dari Perancis meraih perak manakala juara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 bulan lepas, Shinji Nakano dari Jepun membawa pulang gangsa.

Muhammad Shah Firdaus melangkah ke final selepas menamatkan perlumbaan separuh akhir di tempat ketiga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan