SUKAN > BERITA

SUDAH TIBA MASA SHAH FIRDAUS JADI SANDARAN NOMBOR 1 NEGARA

17/03/2025 02:22 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan percaya sudah tiba masanya jaguh berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom menjadi sandaran utama Malaysia untuk menyinar pada kejohanan antarabangsa akan datang.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh optimis Muhammad Shah atau lebih dikenali Shah Firdaus mampu menggalas tanggungjawab itu, sekali gus menggantikan posisi Datuk Mohd Azizulhasni Awang.

“Sudah tiba masa untuk Shah Firdaus. Semasa di Paris 2024, kita nampak bila Shah Firdaus diperlukan (acara keirin) untuk menerima mandat itu daripada Malaysia, dia mampu dan boleh melakukannya (layak ke final).

“Saya cukup gembira untuk melihat Shah Firdaus ketika ini berada pada prestasi terbaiknya. Saya yakin Shah Firdaus akan menjadi harapan Malaysia bagi acara berbasikal trek,” katanya selepas merasmikan Forum ADR Sukan ASEAN 2025 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said,  Pesuruhjaya Sukan (PJS) Suhardi Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif AIAC Datuk Almalena Sharmila Johan.

Hannah berkata beliau turut berbangga dengan pencapaian Shah Firdaus yang merangkul pingat emas dalam acara keirin pada Piala Negara-Negara Kesatuan Barbasikal Antarabangsa (UCI) di Konya, Turkiye semalam, selain berpuas hati dengan prestasi ditampilkan pelumba trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

“Saya nak ucapkan tahniah kepada Shah Firdaus. Saya gembira kerana semasa di Paris 2024, saya nampak betapa sukar dirinya untuk menerima keputusan (kekalahan) kerana kita lihat memang dia bangkit dan berusaha serta berlatih dengan rajin.

“Jadi, saya nak beri galakan kepada Shah Firdaus dan Izzah Izzati untuk terus berusaha kerana jurulatih John Beasley memang memberikan laporan yang cukup positif untuk potensi mereka dan kedua-dua atlet ini sekarang menerima manfaat daripada jawatankuasa Road to Gold,” katanya.

Pada perlumbaan semalam, Shah Firdaus mempamerkan kayuhan bertenaga untuk meloloskan diri daripada kepungan empat pelumba lain sebelum memintas pencabarnya beberapa meter menuju ke garisan penamat di Velodrom Konya.

Ia adalah emas pertama dimenangi pelumba yang diberi julukan The Terminator Shah itu pada kejohanan UCI, sekali gus menandakan pencapaian terbesar dalam kerjayanya setakat ini.

Pemenang pingat gangsa acara pecut berpasukan Sukan Olimpik 2020 di Tokyo Sebastien Vigier dari Perancis meraih perak, manakala juara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 bulan lepas, Shinji Nakano dari Jepun membawa pulang gangsa.

Selain Muhammad Shah, Nurul Izzah turut memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri menerusi acara pecut apabila mencatat masa 10.578 saat (s) di Konya, mengatasi catatan sedia ada iaitu 10.658s yang dicatatnya pada ATC 2025 di Velodrom Kebangsaan, Nilai bulan lepas. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan