SUKAN > BERITA

EMAS DI TURKIYE BUKTI MUHAMMAD SHAH FIDAUS KINI PELUMBA UTAMA NEGARA - PKBM

16/03/2025 05:11 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Kejayaan Muhammad Shah Firdaus Sahrom meraih emas acara keirin di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Konya, Turkiye awal pagi tadi membuktikan beliau kini adalah pelumba berbasikal trek utama negara. 

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill berkata kejayaan berkenaan juga menyaksikan akhirnya pelumba berusia 29 tahun itu berhasil memecahkan tembok psikologi yang membelenggunya selama ini. 

Beliau berkata selama ini Muhammad Shah Firdaus seolah-olah menjadi pelumba kedua di belakang Datuk Mohd Azizulhasni Awang dengan semua fokus terarah kepada pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu sebelum persaraannya.

“Jadi Muhammad Shah Firdaus secara psikologi berasa beliau hanya menjadi pelumba bantuan kepada Datuk Mohd Azizulhasni. Jadi saya percaya kejayaan meraih pingat emas di Konya, Turkiye ini sangat penting kepada psikologi Muhammad Shah Firdaus," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan PKBM hari ini. 

Pada perlumbaan awal pagi tadi, Muhammad Shah Firdaus mempamerkan kayuhan bertenaga untuk meloloskan diri daripada kepungan empat pelumba lain sebelum memintas pesaingnya beberapa meter sebelum garisan penamat di Velodrom Konya.

Ia adalah emas pertama dimenangi pelumba yang diberi julukan ‘The Terminator Shah’ itu pada kejohanan UCI sekali gus menandakan pencapaian terbesar dalam kerjayanya setakat ini.

Pemenang pingat gangsa acara pecut berpasukan Olimpik Tokyo 2020, Sebastien Vigier dari Perancis meraih perak manakala juara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 bulan lepas, Shinji Nakano dari Jepun membawa pulang gangsa.

Selain Muhammad Shah, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri juga memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri menerusi acara pecut apabila mencatat masa 10.578 saat (s) di Konya mengatasi catatan sedia ada iaitu 10.658s yang dicatatnya di ATC 2025 di Velodrom Kebangsaan, Nilai bulan lepas. 

 Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif UCI berkata PKBM akan terus memberi bantuan yang diperlukan Muhammad Shah Firdaus dan Nurul Izzah Izzati untuk kekal cemerlang di persada kejohanan antarabangsa.

“Kami di PKBM akan sentiasa memantau perkembangan Muhammad Shah Firdaus dan Nurul Izzah Izzati bagi memastikan mereka kekal cemerlang. Kita juga akan pantau prestasi pelumba lain,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan