GEORGE TOWN, 17 Mac (Bernama) -- Kemenangan yang dicatatkan dalam aksi menentang Penang FC di Stadium Bandaraya malam tadi nyata menggembirakan pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) Hector Bidoglio.
Beliau yang menurunkan kesebelasan terbaik berpuas hati dengan persembahan ditunjukkan pemain sepanjang 90 minit perlawanan yang menyaksikan pasukannya menang 3-0.
Hector berkata keputusan positif itu sekali gus membakar semangat anak buahnya untuk terus mempamerkan aksi lebih baik pada baki perlawanan seterusnya dan paling penting perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Sri Pahang FC pada 12 April depan.
“Sejak dari awal hasrat kami adalah untuk menguasai perlawanan, cuba bermain agresif dan pemain mengawal bola, berusaha menukar pergerakan bola dari sisi ke sisi dan saya rasa hari ini pemain telah menunjukkan prestasi yang baik.
“Kini kami perlu bermain dengan lebih serius dalam semua perlawanan. Ini kerana Liga Super dan perlawanan akhir Piala Malaysia sangat penting bagi kami, perlu fokus dan terus menunjukkan peningkatan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan tamat, malam tadi.
Pengendali kelahiran Argentina itu turut memuji komitmen ditunjukkan semua pemain yang mempamerkan peningkatan dari segi prestasi dan berharap mereka dapat terus menjulang nama JDT.
Beliau dalam pada itu berharap kecederaan dialami pemain tengah Arif Aiman tidak begitu serius namun perlu menunggu pasukan perubatan untuk mengesahkan keadaannya.
Sementara itu, ketua jurulatih Penang FC Wan Rohaimi Wan Ismail tidak menafikan anak buahnya dilihat gugup dan sedikit goyah di awal permainan hingga menyebabkan gawang mereka dibolosi tetapi situasi itu berjaya dikawal meskipun ketinggalan dua gol pada babak pertama.
Ketiadaan empat tonggak utama yang dibelenggu kecederaan turut mempengaruhi pasukan, bagaimanapun katanya pujian harus diberikan kepada barisan pemain muda yang diturunkan kerana mereka telah berjuang habis-habisan hingga minit akhir perlawanan.
“Pemain muda yang diberi tugas hari ini bagi saya telah berjaya melaksanakan tanggungjawab mereka. Ini petanda positif kepada Penang FC sendiri yang ada baki tiga perlawan lagi dan dengan kembalinya pemain utama nanti saya harap momentum pasukan lebih baik.
“Bagi perlawanan seterusnya menentang Negeri Sembilan pada 5 April depan di tempat lawan, kita pergi dengan matlamat untuk tiga mata penuh dan saya sudah tegaskan kepada pemain untuk tidak lagi membazirkan mata,” katanya.
JDT terus unggul di takhta liga dengan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 20 perlawanan dan mengumpul 61 mata manakala Penang FC berada di kedudukan kesembilan, berkongsi 20 mata dengan Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial