KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Pelumba negara Jazeman Jaafar menyifatkan perlumbaan Sepang 12 Hours di Litar Antarabangsa Sepang pada 13 hingga 15 Mac lepas, adalah antara perlumbaan paling sukar pernah dilakukannya.
Jazeman yang mewakili pasukan 33R Harmony Racing melintasi garisan penamat dengan jentera Ferrari 296 GT3 selepas menyelesaikan 328 pusingan bersama gandingannya David Chen, Jason, Loh dan Loh Kai Luo untuk muncul juara edisi kali ini.
Walaupun bermula dari kedudukan yang baik, cabaran utama adalah cuaca panas dan tidak menentu, yang benar-benar menguji ketahanan pemandu serta ketepatan strategi.
“Masih sukar untuk diungkapkan. Ini adalah satu daripada perlumbaan paling mencabar yang pernah saya sertai. Mengejar dari kedudukan ketiga hingga pertama dengan hanya berbaki 15 minit.
“Tiada kejayaan dicapai dengan mudah, tetapi alhamdulillah, dengan pasukan hebat, jentera terbaik, rakan sepasukan serta sokongan keluarga dan rakan-rakan, kemenangan ini sangat bermakna buat saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perlumbaan 12 jam bermula pada 10.15 pagi di bawah cuaca cerah dengan jentera No 33 Ferrari bermula dari petak utama.
Dalam dua jam terakhir, Jazeman mempamerkan pemanduan cemerlang dengan catatan masa terpantas 2 minit 05.91 saat (s), menghapuskan jurang 25 saat dengan kelebihan dua saat setiap pusingan.
Aksi dramatik di Turn 1 dan Turn 2 sebelum memastikan kemenangan buat pasukan 33R Harmony racing.
Kemenangan bukan sahaja menambah koleksi trofi kepada pasukan malah ia meneruskan legasi Ferrari di Sepang.
Catatan 328 pusingan yang dilakukan pasukan berkenaan turut memecahkan rekod terdahulu milik Ferrari 458 Italia GT3 pada 2014.
Gelaran pertama 296 GT3 dalam perlumbaan endurance Asia Pasifik itu menandakan permulaan satu era baharu bagi jentera perlumbaan generasi terkini Ferrari.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial