SUKAN > BERITA

PIALA DUNIA ISTAF: MALAYSIA RAIH GANGSA ACARA DOUBLE LELAKI

23/03/2025 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Hasrat skuad sepak takraw negara untuk mempertahankan gelaran Piala Dunia ISTAF dalam acara double lelaki tidak kesampaian apabila tumbang kepada musuh tradisi Thailand 2-1 di peringkat separuh akhir di Bihar, India, hari ini.

Malaysia yang diwakili Aidil Aiman Zawawi, Shahril Aiman dan Noraizat Nordin berjaya bangkit selepas tewas pada set pertama 9-15 untuk mencatat kemenangan pada set kedua 17-15.

Bagaimanapun, momentum tersebut gagal diteruskan di set penentuan apabila skuad negara tewas tipis 15-17 kepada seteru utama mereka, sekali gus terlepas peluang untuk beraksi di perlawanan akhir.

Kegagalan ini menyaksikan skuad kendalian Zulkarnain Arif tidak dapat menyamai pencapaian gemilang tahun lalu apabila muncul juara dalam acara tersebut.

Namun begitu, skuad negara tetap membawa pulang pingat gangsa, satu pencapaian yang wajar dibanggakan.

Pada edisi 2024 di Kuala Lumpur tahun lepas, Aidil-Noraizat mencatat kemenangan 17-16, 15-13 ke atas gandingan Thailand Seksan Tubtong-Kittiphum Sareebut dalam final double untuk merangkul pingat emas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan