ISKANDAR PUTERI, 24 Mac (Bernama) -- Malaysia berhasrat untuk memulakan kempen kelayakan Piala Asia 2027 dengan langkah kanan apabila turun menentang Nepal dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam esok.
Ketua Jurulatih Kebangsaan Peter Cklamovski, dalam sidang media praperlawanan hari ini, meluahkan keterujaan serta keyakinannya menjelang perlawanan penting itu.
“Kami sangat teruja untuk perlawanan esok. Dari perspektif kami, fokus utama pada apa yang kami lakukan sebagai satu pasukan. Kami telah bersiap dengan baik. Persiapan kami sangat bagus.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor TMJ (Pemangku Sultan Johor) kerana menyokong kami sepenuhnya dari segi kemudahan yang disediakan, termasuk hotel dan kem latihan. Tanpa beliau, ini tidak mungkin berlaku,” kata jurulatih dari Australia berusia 46 tahun itu.
Cklamovski yang diumumkan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada Disember tahun lepas, turut menekankan suasana positif dalam kem latihan pasukan, memuji semangat pemain yang mahu terus meningkat serta komitmen mereka terhadap falsafah pasukan.
“Saya sangat menikmati kem latihan ini. Saya melihat kumpulan pemain yang dahagakan peningkatan setiap hari dan itu suatu pendekatan yang sangat baik untuk semua orang, termasuk saya sendiri.
“Matlamat kami untuk menjadi lebih baik setiap hari. Saya gembira bekerja dengan para pemain, membina asas prinsip dan konsep permainan yang akan menjadikan kami sebuah pasukan yang kuat,” katanya.
Menjelang perlawanan pertama di bawah kendaliannya, Cklamovski menegaskan bahawa fokus utama pasukan adalah pada prestasi, bukan pencapaian individu, sambil menekankan kepentingan untuk membanggakan negara dan menghiburkan peminat dengan corak permainan mereka.
Sementara itu, beliau mengakui kemenangan 1-0 Nepal ke atas Singapura dalam perlawanan persahabatan antarabangsa baru-baru ini, menunjukkan bahawa lawan mereka sebuah pasukan yang kompetitif. Namun, beliau menegaskan bahawa Malaysia akan tetap berpegang kepada gaya permainan mereka sendiri.
“Saya hanya fokus kepada bagaimana kami mahu bermain dan pasukan seperti apa yang kami ingin jadi. Kemenangan mereka ke atas Singapura menunjukkan bahawa mereka akan menjadi lawan yang sukar. Mereka akan datang dengan keyakinan dan motivasi untuk mendapatkan keputusan yang baik. Namun, itu tidak relevan bagi kami.
“Kami mahu fokus pada prestasi sendiri dan membentuk gaya permainan yang kami bina. Adakah saya mengharapkan permainan yang sempurna? Tidak. Tetapi jika kami boleh memberikan prestasi yang baik sebagai satu pasukan, dengan konsep dan prinsip yang diterapkan, keputusan akan datang dengan sendirinya,” katanya.
Dalam pada itu, Cklamovski mengesahkan bahawa pemain tengah Natxo Insa, tidak akan diturunkan selepas dimasukkan ke dalam program pemulihan individu.
Keputusan itu dibuat selepas menilai keadaan fizikalnya, dengan Cklamovski menjelaskan bahawa walaupun Natxo tidak menjalani latihan bersama pasukan, dia masih dalam keadaan yang baik dan sedang fokus terhadap proses pemulihannya.
Malaysia yang kini berada pada kedudukan ke-132 ranking FIFA, mempunyai kelebihan dari segi ranking berbanding Nepal yang menduduki tempat ke-175.
Selain Nepal, Malaysia juga bakal menghadapi cabaran Vietnam dan Laos dalam Kumpulan F, dengan hanya juara kumpulan akan layak ke pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial