ISKANDAR PUTERI, 26 Mac (Bernama) -- Pemain warisan baharu Hector Hevel memuji rakan sepasukan dan petugas kejurulatihan pasukan atas sokongan mereka yang membolehkan beliau menyesuaikan diri dengan pantas, susulan prestasi cemerlangnya membantu kemenangan 2-0 Harimau Malaya ke atas Nepal pada aksi pembukaan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, malam tadi.
Pemain tengah kelahiran Belanda berusia 28 tahun yang memberi impak segera kepada pasukan selepas menjaringkan gol pembukaan kurang seminggu selepas menyertai skuad berkenaan, mengakui bahawa sistem sokongan pasukan itu sememangnya kukuh.
“Semua pihak banyak membantu saya untuk menyesuaikan diri apabila tiba ke sini enam atau tujuh hari sebelum perlawanan. Jadi semua perlu menyesuaikan diri dengan segera, perlu banyak bercakap dengan rakan sepasukan, dan itulah yang banyak kami lakukan.. di atas padang, berlatih bersungguh-sungguh supaya boleh menyesuaikan diri sebaik mungkin.
"Dan seperti kata jurulatih, kami perlu meningkatkan prestasi, tingkatkan lagi, dan lagi. Jadi untuk kem seterusnya, kami perlu banyak buat persediaan," kata Man Of The Match itu pada sidang media selepas perlawanan di sini, malam tadi.
Hevel turut melahirkan rasa kagumnya terhadap impian besar bola sepak Malaysia dan berikrar untuk menyumbang kepada kemajuan pasukan kebangsaan.
“Saya sedia maklum serba sedikit mengenai Malaysia, saya tahu ia adalah projek hebat dari negara ini. Anda ada sasaran dan saya berhasrat membantu untuk mencapai impian itu, saya akan berikan segala-galanya untuk negara ini. Saya rasa sekiranya kita kekalkan prestasi seperti ini, ia adalah permulaan awal yang baik, tapi bagaimana pula jika berhadapan dengan perlawanan yang sukar?
"Saya rasa kami masih mempunyai peluang. Jika prestasi terus meningkat, terus bekerja keras, terus percaya dengan apa yang dilakukan, saya fikir kami boleh mencapai peringkat seterusnya," kata pemain kelab Portugal Portimonense S.C. itu.
Hevel yang mengagumi kemudahan latihan dan stadium terkini yang dimiliki Johor Darul Ta’zim (JDT), adalah seorang daripada dua pemain baharu yang diperkenalkan Rabu lepas, bersama pemain pertahanan kelahiran Sepanyol Gabriel Palmero.
Dalam perlawanan yang disaksikan 7,895 penonton malam tadi, Hevel memulakan jaringan untuk Malaysia mendahului pada minit ke-29, sebelum pertahanan Corbin Ong menggandakan jaringan pada minit ke-71 untuk memastikan kemenangan penting buat pasukan.
Sementara itu Vietnam memulakan kempen dengan baik apabila mencatatkan kemenangan 5-0 ke atas Laos di Stadium Binh Duong untuk mengungguli kedudukan kumpulan dengan tiga mata, menyamai Malaysia yang berada di tempat kedua.
Malaysia seterusnya akan melayan kunjungan Vietnam pada 10 Jun sebelum berlepas ke Laos pada 9 Okt.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial