ISKANDAR PUTERI, 24 Mac (Bernama) -- Pemain pertahanan kanan skuad kebangsaan Matthew Davies yakin Malaysia sudah bersiap sedia untuk menghadapi perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam esok.
Davies berkata skuad Harimau Malaya juga tidak sabar untuk memulakan kempen dengan positif di bawah bimbingan ketua jurulatih baharu Peter Cklamovski.
Beliau berkata skuad itu berjaya menyesuaikan diri dengan falsafah yang diterapkan Cklamovski walaupun hanya melalui tempoh latihan yang singkat.
“Yang pertama saya ingin ucapkan terima kasih kepada TMJ (Tengku Mahkota Johor) sebab beliau banyak menyokong kami dan sentiasa berada di belakang kami. Kami dapat menggunakan fasiliti JDT (Johor Darul Ta’zim) dan kami puas hati dengan persiapan pasukan.
“Dari sudut pemain, walaupun hanya lapan hari kami tetap puas hati. Kami dapat tahu banyak konsep-konsep baharu daripada jurulatih baharu, jadi insya-Allah kita akan dapat keputusan yang positif dan mulakan kempen ini dengan langkah kanan,” kata pemain JDT itu di sini hari ini.
Pemain pertahanan berusia 30 tahun itu turut mengakui peranan penting yang dimainkan oleh Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dalam memastikan pasukan berkenaan mendapat akses kepada kemudahan bertaraf dunia.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada TMJ kerana beliau banyak menyokong kami dan sentiasa berdiri di belakang kami. Kami dapat menggunakan kemudahan di Johor, dan itu membantu kami membuat persediaan dengan baik,” katanya.
Walaupun yakin dengan kebolehan Malaysia, Davies mengingatkan rakan-rakan sepasukan agar tidak memandang rendah Nepal, yang mencatat kemenangan 1-0 ke atas Singapura pada perlawanan persahabatan antarabangsa baru-baru ini, sekali gus membuktikan mereka adalah lawan yang berbahaya.
“Kami perlu menghormati mereka, tetapi pada masa sama kami percaya perlawanan malam esok adalah mengenai kami. Jika kami bermain mengikut corak permainan kami sendiri dan menerapkan konsep yang telah diajar kepada kami, keputusan positif akan menyusul,” katanya.
Malaysia kini berada di kedudukan ke-132 dalam ranking FIFA, manakala Nepal berada di kedudukan ke-175.
Selain Nepal, Malaysia juga akan berdepan cabaran Vietnam dan Laos dalam Kumpulan F, dengan hanya juara kumpulan layak ke pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial