KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abd Aziz dan bekas Setiausaha Agung Persatuan Renang Malaysia (MS) Mae Chen dilantik sebagai ahli jawatankuasa program Road to Gold (RTG) bagi penggal 2025-2026.
Pelantikan dua tokoh terkenal dalam arena sukan tanah air itu mendapat kelulusan Lembaga Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) pada Khamis lepas.
Menteri Belia dan Sukan dalam kenyataan hari ini berkata pelantikan kedua-dua tokoh berkenaan akan memperkukuh program RTG khususnya dalam bidang sains sukan dan pentadbiran dengan membawa perspektif serta idea baharu.
"Kedua-dua tokoh ini sangat dihormati dalam bidang masing-masing dan kami amat menantikan kerjasama bersama mereka dalam merancang hala tuju program ini ke hadapan,” katanya.
Ramlan yang pernah menjawat jawatan Ketua Pengarah MSN, merupakan individu yang mempunyai pengalaman lebih 35 tahun dalam bidang sains dan perubatan sukan.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pegawai perubatan kontinjen negara dalam enam edisi Sukan Olimpik (1992-2012) serta memegang jawatan penting seperti Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) dan Ketua Kontinjen negara ke Sukan SEA 2009 di Laos serta Sukan Para Asia 2010 di Guangzhou, China.
Mae Chen pula seorang pentadbir sukan berpengalaman luas bermula sebagai Penolong Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Kuala Lumpur pada 2008 sebelum dilantik ke jawatan sama dalam Kesatuan Renang Amatur Malaysia pada 2011.
Beliau kemudiannya menyandang jawatan Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia dari 2015 hingga 2023 dan kini berkhidmat sebagai Ahli Biro World Aquatics dan merupakan Pegawai Teknikal Antarabangsa bertauliah dalam acara Renang Para Dunia.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan sama turut memaklumkan Hannah kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa manakala Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria terus berperanan sebagai Timbalan Pengerusi.
Barisan jawatankuasa RTG turut mengekalkan beberapa individu utama dari kementerian dan institusi sukan negara termasuk Ketua Setiausaha KBS Datuk Dr Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Pengarah MSN baharu Jefri Ngadirin dan Ketua Pegawai Eksekutif ISN Dr Vellapandian Ponnusamy.
Tiga bekas atlet kebangsaan - Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David dan Datuk Mirnawan Nawawi turut dikekalkan sebagai mentor bagi membimbing dan memberi inspirasi kepada atlet RTG sepanjang kitaran Olimpik akan datang.
Datuk Stuart Ramalingam pula kekal sebagai Penyelaras Projek RTG dan akan dibantu oleh Ketua Cawangan Road to Gold MSN Halif Asro Ramzi Sulaiman.
Mesyuarat Jawatankuasa RTG yang seterusnya dijangka berlangsung selepas cuti Aidilfitri dan senarai atlet untuk kitaran RTG 2025 diumumkan selepas mesyuarat tersebut.
SENARAI JAWATANKUASA RTG PENGGAL 2025–2026
Pengerusi: Hannah Yeoh
Timbalan Pengerusi: Tan Sri Mohamad Norza Zakaria
Ahli Jawatankuasa:
- Datuk Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu
- Jefri Ngadirin
- Dr. Vellapandian Ponnusamy
- Datuk Lee Chong Wei
- Datuk Nicol Ann David
- Datuk Mirnawan Nawawi
- Datuk Dr. Ramlan Abd Aziz
- Mae Chen
Penyelaras Projek: Datuk Stuart Ramalingam
Penolong Penyelaras Projek: Halif Asro Ramzi Sulaiman
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial