SUKAN > BERITA

TENGKU ZAFRUL CALON PILIHAN TERAJU BAM

25/03/2025 04:01 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam proses peralihan kepimpinan apabila majoriti ahli lembaganya mencapai kesepakatan mencalonkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai presiden bagi penggal 2025-2029.

Pemangku Presiden BAM Datuk V Subramaniam ketika mengumumkan perkara berkenaan berkata kepimpinan yang kukuh dan stabil penting demi memajukan persatuan berkenaan.

“Mengambil kira apa yang terbaik untuk BAM, saya dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa majoriti ahli majlis BAM telah mencapai kata sepakat untuk mencalonkan Tengku Zafrul bagi jawatan Presiden dalam pemilihan BAM akan datang," katanya semasa sidang media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Subramaniam berkata Tengku Zafrul sudah dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat dan telah bersetuju dengan pencalonan tersebut.

"Saya telah berkhidmat dalam arena badminton sejak 1988. Saya bukan orang baharu dalam bidang inikan? Saya mahu melihat BAM berkembang, bukan individu. Jadi, apabila melihat gambaran lebih besar, kami melihatnya dengan sangat teliti."

“Hanya orang tepat seharusnya memimpin BAM. Kami ada di sini dan akan terus memberi bantuan. Jadi, ini bukan soal kepentingan individu. Oleh itu, bagi tujuan tersebut, saya rasa Tengku Zafrul adalah calon yang sesuai untuk menjadi Presiden dalam pemilihan akan datang," katanya.

Subramaniam memaklumkan pemilihan dijangka berlangsung semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu pada 10 Mei depan.

“Setakat ini, belum ada pencalonan rasmi dibuat. Kita akan tunggu hingga hari AGM dan jika ada nama lain dikemukakan, kita akan teliti perkara itu. Namun, majoriti ahli majlis telah menyatakan persetujuan secara sebulat suara.

“Kami mahukan presiden yang mempunyai pengalaman luas dan dan dikenali, sebagai korporat, mungkin sekarang sebagai Menteri dan mungkin akan bersara tidak lama lagi. Jadi, pengalaman macam ini perlu untuk BAM,” katanya sambil menambah BAM bukan tempat untuk berpolitik kerana mereka sangat komited terhadap industri sukan.

Sebelum ini, Tengku Zafrul hampir dilantik sebagai Presiden BAM bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang mahu melepaskan jawatannya awal tahun lepas, namun Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meminta Norza mempertimbangkan untuk kekal hingga tamat Sukan Olimpik Paris 2024.

Sebaik tamat temasya di Paris, BAM memutuskan untuk melantik Subramaniam sebagai Pemangku Presiden hingga AGM berlangsung pada Mei depan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan