SUKAN > BERITA

SHAH FIRDAUS TERUJA SAMBUT AIDILFITRI SELEPAS SEDEKAD DI PERANTAUAN

28/03/2025 01:54 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Selepas sedekad menyambut Aidilfitri di perantauan dek kerana tuntutan kerjaya, pelumba basikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom akhirnya berpeluang pulang ke kampung halaman di Muar, Johor tahun ini untuk merasai semula kemeriahan lebaran bersama keluarga.

Namun kepulangan pemenang emas keirin Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Konya, Turkiye baru-baru ini hadir dengan perasaan yang sukar digambarkan, seakan janggal untuk kembali berada dalam kemeriahan Aidilfitri di tanah air setelah sekian lama.

“Selalu tak beraya, bila dapat beraya rasa macam pelik tapi keluarga semua gembira sebab sudah lama tak beraya bersama di rumah. Kita pun tak tahu bagaimana tahun hadapan sebab dah mula berlatih semula, jadi memang tak sabar balik kampung nak menikmati masakan ibu.

“...tak sabar nak rasa kuah lodeh, ayam masak merah, daging kari dan banyak lagi. Bila cakap macam ini pun saya dah boleh bayangkan rasanya,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Pelumba berusia 29 tahun itu mengakui Ramadan kali ini memberinya pengalaman berbeza apabila seakan ‘gila’ berbelanja dengan memborong pelbagai juadah di bazar Ramadan.

Teruja dengan kepelbagaian pilihan makanan, beliau turut membandingkan suasana di sini dengan Australia iaitu lokasi latihannya dengan menyatakan bazar Ramadan di tanah air jauh lebih besar berbanding di luar negara.

“Saya dah pergi bazar di Malaysia, sekarang pasukan berbasikal tinggal di Nilai (Negeri Sembilan). Memang itu yang saya cari sebab dah 10 tahun tak merasa suasana bazar. Saya siap pusing dua hingga tiga kali dalam bazar sama sebab terlalu teruja sampai tak tahu nak beli apa akhirnya beli semua benda!” katanya.

Dalam keterujaan memikirkan sambutan perayaan, Muhammad Shah Firdaus sebenarnya tetap fokus terhadap proses pemulihan kecederaan lutut kanannya dengan harapan dapat kembali ke tahap terbaik menjelang Kejohanan Dunia, Oktober ini.

“Sepatutnya cedera hari itu saya kena rehat sepenuhnya daripada latihan dan gim. Tapi sebab persiapan kejohanan, saya tetap jalani latihan tanpa henti. 

“Selepas tamat perlumbaan dan menang emas acara keirin hari itu, memang rasa lutut agak bengkak. Saya pun tak boleh melutut jadi memang perlukan masa untuk pulih sepenuhnya,” katanya.

Pada perlumbaan di Kejohanan UCI Turkiye, Muhammad Shah Firdaus mempamerkan kayuhan bertenaga untuk meloloskan diri daripada kepungan empat pelumba lain sebelum memintas pencabarnya beberapa meter menuju ke garisan penamat di Velodrom Konya.

Kejayaan tersebut adalah emas pertama dimenangi pelumba yang diberi julukan ‘The Terminator Shah’ itu pada kejohanan UCI, sekali gus menyaksikan pencapaian terbesar dalam kerjayanya setakat ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan