KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia musim ke-15, yang bermula 19 April ini akan dikenakan bayaran masuk RM10 bagi pertandingan di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini.
Ketua E-Sukan Malaysia MOONTON Games Fikri Rizal Mahruddin berkata keputusan itu dibuat bagi meningkatkan pengalaman peminat dan menyumbang kepada pembangunan ekosistem e-sukan negara.
"Jadi, secara amnya ia untuk kami meningkatkan pengalaman peminat, apabila mereka menonton MPL Malaysia, mereka tahu secara faktanya mereka sedang menonton kejohanan yang profesional, sangat menghiburkan dan sangat menarik.
"Ini juga sebahagian daripada strategi jangka panjang (multi-year plan) untuk memastikan Malaysia sentiasa dilihat sebagai suatu ekosistem terbaik di dunia sambil kita menerajui ekosistem e-sukan di negara ini," katanya pada temu bual dalam talian hari ini.
Fikri berkata mereka juga sentiasa menerokai sesuatu yang baharu untuk MPL Malaysia dan respons daripada komuniti e-sukan setakat ini positif.
Menurutnya penjualan tiket mampu memainkan peranan penting dalam mendidik peminat dan menggalakkan mereka untuk melabur bagi masa depan termasuk membeli barangan pasukan.
Musim ke-15 akan kembali dengan format dua peringkat yang sama terdiri daripada musim biasa diikuti dengan playoff.
Musim biasa akan menampilkan 10 pasukan terbaik negara yang akan bersaing setiap minggu dari 19 April hingga 25 Mei. Enam pasukan terbaik daripada musim biasa akan mara ke playoff.
Pada musim ini, dua pasukan teratas akan mewakili Malaysia ke Piala Dunia E-Sukan x Piala Pertengahan Musim Mobile Legends: Bang Bang 2025 di Riyadh, Arab Saudi, yang dijadualkan berlangsung Julai ini.
Ditubuhkan pada 2014, MOONTON merupakan syarikat permainan video global didedikasikan untuk pembangunan permainan, penerbitan dan e-sukan.
Mobile Legends: Bang Bang ialah permainan pertempuran dalam talian yang kini menjadi kegemaran peminat e-sukan seluruh dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial