SUKAN > BERITA

BAC 2025: SZE FEI-NUR IZZUDDIN TERUS CEMERLANG, MARA KE SUKU AKHIR

10/04/2025 10:24 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Beregu utama lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani meneruskan rentak cemerlang apabila mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China, hari ini.

Dalam aksi pusingan kedua di Pusat Sukan Olimpik NIngbo, pilihan pertama kejohanan itu mengambil masa 48 minit untuk mengetepikan pasangan Thailand Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh dengan kemenangan 21-18, 22-20.

Mereka dijadual menentang pasangan tuan rumah Chen Bo Yang-Liu Yi bagi perebutan tempat ke separuh akhir.

Turut mengiringi kemaraan ialah beregu kedua negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tidak berdepan masalah menundukkan gandingan India, Hariharan Amsakarunan-Ruban Kumar Rethinasabapathi, 21-15, 21-14.

Juara dunia 2022 itu bakal berdepan pilihan ketiga kejohanan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Nasib tidak menyebelahi Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang terkandas di pusingan kedua selepas tewas kepada pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han, 12-21, 21-16, 18-21.

Satu lagi pasangan negara, Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi turut gagal melangkah selepas tunduk kepada pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang, 21-17, 14-21, 11-21.

Dalam saingan beregu wanita, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing tidak berjaya mencipta kejutan apabila mudah ditundukkan pasangan China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan, 5-21, 13-21.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan