SUKAN > BERITA

MESF, E-SUKAN, KBS SAMBUT BAIK PENGIKTIRAFAN E-SUKAN SEBAGAI SUKAN TERAS PRESTASI TINGGI

15/04/2025 04:29 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) menyambut baik pengiktirafan e-sukan sebagai satu daripada sukan teras prestasi tinggi sebagaimana diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

MESF dalam kenyataan memaklumkan langkah itu sebahagian daripada Pelan Strategik Pembangunan E-sukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2020-2025 dan merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan ekosistem pembangunan atlet e-sukan negara ke arah pencapaian bertaraf dunia.

"MESF merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim, Majlis Sukan Negara (MSN), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atas kepercayaan dan sokongan berterusan terhadap pembangunan industri e-sukan Malaysia," menurut kenyataan itu.

MESF juga menyambut baik penekanan terhadap pengukuhan pelaksanaan Dasar Satu Murid Satu Sukan (1M1S) oleh Kementerian Pendidikan yang bakal membuka ruang lebih luas bagi e-sukan sebagai saluran pendidikan sukan berimpak tinggi dalam kalangan pelajar.

Untuk tindak balas proaktif, MyLeague iaitu satu inisiatif pembangunan akar umbi oleh MESF bersama Esports Integrated (ESI) telah diwujudkan sebagai platform rasmi untuk mencungkil bakat tempatan merentasi pelbagai judul permainan utama termasuk MyRL (eRacing), MyEL (eFootball), MyTL (Tekken 8), MyPL (PUBG), MyFL (Free Fire), MyCL (Counter Strike), MyHL (Honor of Kings) dan MyML (Mobile Legends).

Platform ini akan memainkan peranan penting dalam menyediakan laluan profesional bagi atlet e-sukan tempatan untuk beraksi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan badan induk itu kekal komited  dalam menyokong dasar kerajaan demi pembangunan industri e-sukan negara yang progresif, mampan dan inklusif.

Selain e-sukan, sukan lain yang terlibat ialah akuatik (renang dan terjun), angkat berat, badminton, berbasikal (trek), boling padang, gimnastik (artistik dan gimrama), hoki, karate, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, ping pong, sepak takraw, silat, skuasy, taekwondo, tenpin boling dan wushu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan