SUKAN > BERITA

DOMINIC, AGUERO TIDAK SERTAI ASEAN ALL-STARS LAWAN MANCHESTER UNITED

23/04/2025 04:03 PM

PETALING JAYA, 23 April (Bernama) -- Dua pemain kebangsaan Dominic Tan dan Sergio Aguero tidak mendapat pelepasan menyertai skuad ASEAN All-Stars untuk aksi persahabatan menentang Manchester United di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata kedua-dua pemain itu terikat dengan komitmen bersama skuad Harimau Malaya yang akan menjalani kem latihan pusat bermula 16 Mei, sebagai persiapan menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam.

Beliau berkata pihaknya telah mencadangkan lima pemain lain bertaraf kebangsaan kepada Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) untuk mengisi kekosongan tersebut.

“AFF ada mohon tiga pemain negara yang sedia untuk bermain tetapi oleh kerana ketika itu juga masa persiapan untuk pasukan (Harimau Malaya). Jadi hanya satu (nama) lepas (dapat pelepasan).

“FAM sudah mencadangkan lima nama lagi sebagai ganti. Pemain terbabit juga bertaraf kebangsaan dan pernah mewakili skuad negara sebelum ini antaranya seperti Ahmad Khuzaimi Piee,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Raya anjuran Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Amatur (AFL) di Wisma FAM di sini hari ini.

Sebelum ini, tiga pemain negara iaitu Dominic, Aguero dan penjaga gol Perak FC Muhammad Haziq Nadzli terpilih menyertai skuad ASEAN All Stars kendalian jurulatih Kim Sang Sik.

Tiket perlawanan membabitkan United dan ASEAN All-Stars mendapat sambutan hangat apabila hampir 45,000 keping dilaporkan terjual setakat Jumaat lepas.

Kali terakhir juara 13 kali Liga Perdana Inggeris (EPL) itu berkunjung ke Malaysia semasa jelajah pramusim 2009, menewaskan Malaysia XI dua kali, 3-2 dan 2-0 masing-masing pada 18 dan 20 Julai di Stadium Nasional.

Sementara itu, Mohd Joehari mengesahkan bekas pengendali skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe dilantik Pengarah Teknikal Pasukan Kebangsaan.

Selain Cheng Hoe, beliau memaklumkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC Stanley Bernard pula dilantik Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya manakala bekas pengarah sukan Terengganu FC Zul Fadli Rozi sebagai koordinator pasukan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan