SUKAN > BERITA

NATXO INSA INGATKAN RAKAN HORMATI PASUKAN LAWAN PADA FINAL PIALA MALAYSIA

25/04/2025 06:35 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Kapten Johor Darul Ta'zim (JDT) Natxo Insa mengingatkan rakan-rakan sepasukan supaya menghormati pasukan lawan menjelang final Piala Malaysia 2024/2025 menentang Sri Pahang FC di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam esok.

Natxo ketika mengingati perlawanan akhir yang tidak dijangka, termasuk kekalahan mengejut 0-2 kepada Kuala Lumpur City FC pada final Piala Malaysia 2021 berkata menghormati pasukan lawan adalah pendekatan yang digunakan JDT. 

“Saya rasa kekuatan atau kelebihan terbesar yang kami miliki ialah kami menghormati semua orang. Tidak kira perlawanan apa dan kejohanan apa, kami tahu kami perlu sentiasa beraksi dengan cemerlang. Jadi, dengan adanya disiplin, tingkah laku dan kebiasaan seperti ini, saya rasa ia membolehkan kami untuk sentiasa fokus dalam setiap perlawanan, terutama pada perlawanan akhir.

“Jadi, saya rasa itu yang membezakan antara kami dan yang lain, untuk sentiasa fokus. Tidak kira perlawanan apa, lawan siapa, tempatan (pemain), juara (kelab), kami sentiasa hadapi dengan mentaliti seperti ini. Jadi, saya rasa ia membolehkan kami untuk menghadapi atau mendekati perlawanan dengan cara yang betul,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini hari ini.

Pemain tengah berusia 38 tahun itu berkata demikian ketika ditanya mengenai dominasi berterusan JDT, namun mengambil iktibar daripada perlawanan akhir 2021 yang membuktikan bahawa apa sahaja boleh berlaku dalam satu-satu perlawanan, dan bagaimana beliau mengingatkan rakan sepasukan supaya mengekalkan rasa hormat terhadap situasi dan lawan mereka kali ini.

Natxo telah memenangi empat kejuaraan Piala Malaysia bersama JDT sejak tahun 2017 termasuk kemenangan berturut-turut pada 2022 dan 2023.

Kali terakhir JDT dan Sri Pahang bertemu di final Piala Malaysia adalah pada musim 2014, dan skuad Tok Gajah muncul juara selepas menang 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 di stadium yang sama.

Dalam kempen Liga Super musim ini, JDT menewaskan Sri Pahang 3-0 dan 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor.

JDT juga dalam misi mencipta sejarah dengan menjadi pasukan pertama memenangi triple treble selepas dinobatkan sebagai juara Piala FA dan merangkul kejuaraan Liga Super musim ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan