PETALING JAYA, 8 Mei (Bernama) --Selepas kecewa di edisi lalu, jaguh boling negara Muhammad Rafiq Ismail tekad mahu menebus maruah dalam Kejohanan Boling Terbuka Kuala Lumpur (KLIO) 2025 yang bakal membuka tirai di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid dari 25 Mei hingga 1 Jun ini.
Rafiq, 27, mengakui prestasinya tahun lalu jauh tersasar daripada sasaran apabila sekadar menamatkan saingan di tempat ke-24 keseluruhan.
“Tahun lepas keputusan saya agak teruk...jadi kali ini saya datang dengan semangat baharu dan mahu buktikan kemampuan sebenar saya. KLIO ini penting kerana ia antara penilaian untuk ke Kejohanan Dunia dan Sukan SEA di Thailand nanti,” katanya ketika ditemui selepas sidang media KLIO 2025 di sini hari ini.
Menurutnya prestasi merudum itu bukan disebabkan kecederaan, tapi berpunca daripada kelewatan membuat pelarasan teknikal ketika pertandingan yang akhirnya menjejaskan keseluruhan permainan.
Rafiq turut menyifatkan saingan kali ini lebih sengit berikutan kehadiran ramai pemain bertaraf dunia dan pelaksanaan format campuran lelaki dan wanita, namun menegaskan dia tidak gentar.
“Saya tak kisah berapa ramai pemain luar datang. Pemain tempatan kita pun setaraf dunia. Malah, tahun lepas Musayyar Khalid menang KLIO pun dia bukan dari pasukan kebangsaan,” katanya.
Rafiq berkata tumpuan kini diberikan kepada latihan intensif dan pelarasan teknikal bersama jurulatih selepas muncul naib juara dua kejohanan iaitu Piala Dunia IBF di Hong Kong pada Januari lepas dan Kejohanan Scorpion PBA di Nevada, Amerika Syarikat, Mac lepas dan meletakkan sasaran lebih tinggi untuk KLIO serta mempertahankan ranking nombor satu Asia buat kali kelima.
KLIO 2025 bakal memasuki edisi kedua sejak ‘dihidupkan’ semula tahun lalu selepas lapan tahun terhenti, dengan lebih 800 pemain dari 12 negara dijangka berentap.
Hadiah keseluruhan turut meningkat kepada RM317,000 berbanding RM250,000 tahun lalu, menjadikannya antara kejohanan paling lumayan di negara ini.
Bagi Divisyen Terbuka, juara bakal membawa pulang RM30,000, naib juara RM15,000 dan tempat ketiga RM8,000 manakala untuk Divisyen Graded pula, pemenang utama akan meraih RM20,000, diikuti RM10,000 dan RM6,000 masing-masing untuk tempat kedua dan ketiga.
Antara bintang antarabangsa yang sudah mengesahkan kehadiran termasuk Sam Cooley (Australia), Yannaphon Larpapharat (Thailand), Kim Hyo-mi (Korea Selatan) serta tiga pemain Jepun – Ryo Fukumitsu, Shion Izumune dan Yamashita Tomokatsu.
KLIO 2025 juga menjadi medan pemanas badan buat skuad negara menjelang Kejohanan Dunia IBF di Hong Kong serta Sukan SEA di Thailand, Disember ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial