SUKAN > BERITA

KDN FC PERLU UTAMAKAN PENYELESAIAN TUNGGAKAN GAJI - BEKAS TONGGAK KELANTAN

18/05/2025 12:57 PM

KOTA BHARU, 18 Mei (Bernama) – Pengurusan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dinasihat memberi keutamaan kepada penyelesaian tunggakan gaji pemain menjelang saingan Liga Malaysia (Liga‑M) 2025/2026.

Bekas kapten Kelantan Mohd Badhri Radzi berkata masalah tunggakan gaji mampu melemahkan semangat pemain dan menjejaskan usaha memulihkan kegemilangan bola sepak negeri.

Beliau mencadangkan agar kelab menawarkan kadar gaji yang lebih rendah tetapi konsisten dibayar, berbanding janji gaji tinggi yang akhirnya gagal ditunaikan.

“Saya tidak mahu isu yang sama berulang. Pemain mencari rezeki melalui bola sepak; jika gaji tidak dibayar, motivasi mereka akan pudar. Walaupun di bawah RM7,000 sebulan, asalkan konsisten, sudah memadai,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, bekas pemain TRW Mohd Farisham Ismail menegaskan pengurusan kukuh dan gaji realistik penting bagi kestabilan pasukan, sambil menyifatkan gaji rendah tetapi konsisten lebih baik daripada janji tinggi yang tidak dibayar.

Pada 7 Mei lepas, Bernama melaporkan KDN FC masih berdepan tunggakan empat bulan gaji pemain bagi musim 2024/2025, namun Presidennya, Rozi Muhamad memberi jaminan isu itu akan diselesaikan dalam masa terdekat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan