SUKAN > BERITA

LTDL 2025: IZZAT HILMI LEGA RAIH TEMPAT KETUJUH PERINGKAT KEEMPAT

01/10/2025 06:15 PM

KEMAMAN, 1 Okt (Bernama) -- Pelumba pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC) Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil menyifatkan kejayaan menduduki tempat ketujuh pada peringkat keempat perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 hari ini sebagai pengubat duka selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-113 pada peringkat ketiga semalam.

Izzat Hilmi yang muncul pelumba terbaik ASEAN hari ini berkata beliau berterima kasih kepada rakan sepasukan, yang banyak membantunya mencapai kedudukan itu.

“Syukur alhamdulillah dan rakan sepasukan juga banyak membantu sejak awal hingga akhir perlumbaan. Kilometer terakhir hari ini memang mencabar kerana ada dua selekoh yang agak berbahaya.

“Saya cuba mempertahankan kedudukan dalam kelompok 10 teratas pada kilometer terakhir dan usaha saya itu nyata berbaloi,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berharap momentum yang dimilikinya ini dapat diteruskan pada peringkat kelima esok yang disifatkan sangat mencabar.

“Bukit Fraser sebenarnya tidaklah sukar seperti aksi di Gerik tetapi peringkat itu tetap mencabar buat saya.

“Jadi, esok saya hanya akan cuba bertahan dan memastikan keputusan semalam (peringkat ketiga) tidak berulang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan