KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Pemenang dua pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023 Tan Cheong Min bakal berdepan cabaran lebih getir pada edisi Sukan SEA Thailand 2025 apabila tiga acara individu wushu kegemarannya digabungkan menjadi satu pingat sahaja.
Beliau berkata acara berkenaan ialah Nanquan, Nandao dan Nangun yang sebelum ini dipertandingkan secara berasingan atau dalam gabungan dua acara.
“Di Kemboja, saya berjaya meraih dua pingat emas melalui acara Nanquan dan gabungan Nandao-Nangun. Tetapi kali ini, ketiga-tiganya digabungkan.
“Situasi ini sangat mencabar kerana semua negara Asia Tenggara memiliki atlet hebat dan masing-masing berpeluang merebut tempat di podium,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Lawatan Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) Sukan SEA 2025, Nurul Huda Abdullah, di Majlis Sukan Negara, hari ini.
Walaupun format baharu itu meningkatkan tahap kesukaran, ratu wushu negara itu kekal optimis dan bertekad memberikan persembahan terbaik demi mempertahankan reputasi Malaysia sebagai kuasa besar sukan wushu di rantau ini.
Cheong Min menjelaskan fokus utama beliau bersama rakan sepasukan kini tertumpu kepada persiapan rapi dalam tempoh dua bulan akan datang bagi memantapkan rutin dan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti semasa Kejohanan Wushu Dunia baru-baru ini.
“Walaupun kami sudah biasa dengan peraturan pertandingan baharu, persiapan tetap perlu dipertingkatkan.
“Selepas pulang dari Kejohanan Dunia, kami akan menganalisis setiap kesilapan dan menyesuaikan semula rutin bagi memastikan persembahan berada di tahap terbaik,” katanya.
Selain acara individu, Cheong Min turut akan menyertai acara berpasukan pada temasya dwitahunan itu.
Persekutuan Wushu Malaysia sebelum ini hanya menyasarkan satu pingat emas di Sukan SEA Thailand dengan sandaran utama tetap terarah kepada Cheong Min.
Sukan SEA Thailand 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial