SUKAN > BERITA

TFC KUTIP TIGA MATA PENUH, BENAM KELANTAN TRW 4-1

04/10/2025 12:06 AM

KUALA NERUS, 3 Okt (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) memanfaatkan sepenuhnya aksi di laman sendiri untuk menewaskan Kelantan The Real Warriors FC (Kelantan TRW) 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini malam ini.

TFC bermula garang apabila berjaya merobek gawang pasukan pelawat seawal minit kesembilan, namun jaringan itu dibatalkan selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesan Rainderson Morais atau Careca berada dalam kedudukan ofsaid.

Skuad bimbingan Badrul Afzan Razi yang berterusan melancarkan serangan akhirnya membuahkan hasil apabila pemain pertahanan import Diego Landis menjaringkan gol pertama TFC pada minit ke-22.

Gol itu berpunca daripada sepakan percuma Nurillo Tukhtasinov yang gagal ditepis keluar penjaga gol Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri.

Tujuh minit kemudian, gawang pasukan pelawat bocor lagi. Kali ini menerusi Nurillo Tukhtsinov yang hanya melambung bola dalam gawang ketika penjaga gol dalam keadaan tidak bersedia.

Pada minit ke-40, pasukan tuan rumah yang sejak awal menguasai permainan terus melebarkan jurang apabila menjaringkan gol ketiga melalui ayam tambatan Yan Mabella, yang bijak menyempurnakan hantaran lintang Muhammad Azam Azmi Murad untuk mendahului 3-0.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat yang ketinggalan bangkit memperkemas jentera serangan dan berjaya memperoleh gol menerusi pemain gantian T. Saravanan pada minit ke-51.

Bagaimanapun kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Mabella mencetak gol kedua peribadi dan gol keempat pasukan pada minit ke-72, sekali gus menjadikan kedudukan 4-1.

TFC memperoleh beberapa peluang keemasan untuk menambah gol pada minit-minit akhir perlawanan, namun gagal disempurnakan ekoran ketumpulan jentera penyudah dan keputusan itu kekal sehingga wisel penamat.

Selepas mengharungi tujuh perlawanan, TFC berjaya mengumpul 13 mata untuk menghuni tangga ketiga liga, manakala Kelantan TRW di tangga keenam dengan lapan mata.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan