KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Pelari kebangsaan Yeow Ni Jia dan Michelle Chua Khit Yeng muncul peserta terbaik dalam kategori masing-masing pada Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2025 yang berlangsung di Stadium Merdeka di sini hari ini.
Ni Jia mencatat masa dua jam 36 minit 13 saat untuk menjuarai kategori terbuka lelaki Malaysia, diikuti Tan Huong Leong (2’37:05s) dan juara edisi 2024 yang juga pemenang pingat gangsa Sukan SEA sebanyak dua kali Muhaizar Mohamad (2’44:37s).
Bagi kategori terbuka wanita, Michelle menamatkan larian di tempat pertama dengan catatan masa 3’05:40s, diikuti Noor Amelia Musa (3’09:03s) dan Lee Siok Chin (3’11:07s).
Bercakap kepada pemberita selepas perlumbaan, Ni Jia berkata laluan mencabar serta cuaca lembap benar-benar menguji ketahanan diri, namun berpuas hati kerana berjaya mencapai sasaran.
“Secara keseluruhan, kali ini agak mencabar dengan laluan berbukit dan cuaca lebih lembap berbanding beberapa hari lepas. Saya bernasib baik kerana dapat mengawal rentak dan menamatkan perlumbaan dengan keputusan yang amat memuaskan,” katanya.
“Kemenangan ini sungguh bermakna. Saya berjaya mencapai sasaran dan pada masa sama dapat menilai prestasi diri pada peringkat tempatan, iaitu bagaimana badan saya menyesuaikan diri serta bertindak balas terhadap keadaan seperti ini,” kata jurutera perisian berusia 25 tahun itu.
Ni Jia berkata laluan untuk tahun ini lebih mencabar berbanding tahun lepas, khususnya pada penamat perlumbaan menuju ke Stadium Merdeka yang secara tidak langsung memberikan kesan psikologi.
Sementara itu, pelari Kenya John Nzau Mwangangi menjuarai kategori terbuka lelaki dengan catatan masa 2’17:28s, diikuti rakan senegara Kiprotich Kirui (2’17:45s) dan Vincent Kiprono (2’18:06s).
Bagi kategori terbuka wanita, Truphena Chepchirchir juga dari Kenya muncul juara dengan masa 2’41:36s, diikuti oleh Almaz Negede Fekade dari Ethiopia (2’41:50s) dan Joyline Chemutai dari Kenya (2’42:34s).
Ni Jia dan Michelle masing-masing menerima pingat serta hadiah wang tunai RM20,000, manakala Mwangangi dan Chepchirchir membawa pulang pingat serta hadiah wang tunai USD15,000 (RM63,090).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial