SUKAN > BERITA

SMK PETALING JUARA EDISI SULUNG PIALA YB DATUK FAHMI FADZIL

05/10/2025 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petaling muncul juara Kejohanan Bola Sepak Bawah 18 Tahun Sekolah-Sekolah Parlimen Lembah Pantai Piala YB Datuk Fahmi Fadzil selepas menumpaskan SMK Bangsar 1-0 pada perlawanan akhir di sini hari ini.

Pengerusi Kampung Kerinchi Football Club merangkap penganjur kejohanan Muhammad Zulkarnain Maarof berkata beliau bersyukur atas kejayaan penganjuran edisi sulung kejohanan berkenaan yang mendapat sokongan penuh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

“Insya-Allah kami berharap kejohanan ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan dijadikan acara tahunan,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata penganjuran kejohanan ini diharap mampu menjadi platform untuk mencungkil lebih ramai bakat muda dari kawasan Lembah Pantai dan sekitarnya yang suatu hari nanti berpeluang mewakili pasukan Liga Super dan kebangsaan.

Sementara itu, dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, SMK Bandaraya menewaskan SMK Seri Pantai 4-1 menerusi sepakan penalti selepas perlawanan terikat 1-1.

Hadir menyaksikan perlawanan final di padang bola sepak SMK Seri Pantai ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Komunikasi Abdullah Izhar Mohamed Yusof yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Juara kejohanan itu membawa pulang RM1,000 berserta piala manakala naib juara menerima RM500 dan plak, tempat ketiga RM300 dan plak serta tempat keempat RM200 dan plak.

Anugerah individu turut diberikan kepada pemain terbaik, penjaga gol terbaik, penjaring terbanyak dan pasukan paling berdisiplin dengan masing-masing membawa pulang RM100 dan plak.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan