SUKAN > BERITA

PEARLY-THINAAH TEBUS KEKECEWAAN, JUARA TERBUKA ARTIK

12/10/2025 06:38 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Gandingan beregu wanita nombor satu negara Pearly Tan-M.Thinaah menebus kekecewaan tahun lalu apabila muncul juara Terbuka Artik 2025 dengan aksi bertenaga di Arena Vantaan Energia, Vantaa, Finland, hari ini.

Pilihan kedua kejohanan itu hanya memerlukan 32 minit untuk menundukkan beregu Jepun, Rin Iwanaga-Kei Nakanishi 21-7, 21-9 bagi meraih gelaran kedua dalam siri Jelajah Dunia BWF tahun ini selepas Terbuka Thailand pada Mei lalu.

Pearly-Thinaah, beregu nombor dua dunia, mempamerkan penguasaan penuh sejak awal permainan dengan corak serangan agresif dan pukulan kemas untuk mendahului 11-4 sebelum menutup set pertama 21-7 dalam masa 14 minit.

Momentum sama diteruskan pada set kedua apabila mereka terus menghukum lawan untuk mendahului 11-3, sebelum kesilapan Nakanishi yang gagal membalas pukulan Pearly menghadiahkan mata kemenangan 21-9 buat wakil Malaysia.

Kemenangan ini juga merupakan kemenangan keenam daripada lapan pertemuan mereka menentang pasangan Jepun itu sejak pertemuan pertama di Kejohanan Antarabangsa Sydney 2019.

Turut muncul naib juara Kejohanan Dunia 2025, Pearly-Thinaah sebelum ini meraih gelaran sulung musim ini di Terbuka Thailand, selain menamatkan cabaran sebagai naib juara di Terbuka Jepun, Terbuka Indonesia dan Masters Indonesia.

Pada edisi tahun lalu, mereka tewas 12-21, 17-21 kepada gandingan China, Liu Shengshu-Tan Ning di pentas final.

Selaku juara, Pearly-Thinaah membawa pulang hadiah wang tunai USD37,525 (kira-kira RM169,000), manakala Iwanaga-Nakanishi menerima USD18,050 (sekitar RM76,000).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan