SUKAN > BERITA

JADIKAN ARIF AIMAN SEBAGAI INSPIRASI – MOHD YUSOFF

16/10/2025 02:59 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Pemain bintang Harimau Malaya Arif Aiman Mohd Hanapi wajar dijadikan contoh dan inspirasi kepada pemain muda negara untuk mencapai tahap tertinggi dalam karier, kata Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Mohd Yusoff berkata pencalonan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dalam anugerah Pemain Terbaik Tahunan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) ialah bukti bahawa bakat tempatan mampu bersaing di pentas Asia jika memiliki disiplin dan semangat kerja yang tinggi.

“Saya fikir ini kali pertama pemain dari Malaysia dicalonkan dalam anugerah ini dan lebih membanggakan lagi, datangnya daripada pemain tempatan. Ini satu pencapaian besar yang membanggakan.

“Pemain-pemain muda perlu jadikan Arif Aiman sebagai contoh, maknanya kalau bekerja keras dan berusaha mereka juga boleh setanding dengan pemain-pemain terbaik Asia,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata kejayaan pemain berusia 23 tahun itu yang dilabel pemain terbaik negara ketika ini, membuktikan bahawa faktor asal usul atau keturunan bukanlah ukuran utama dalam menentukan keupayaan seseorang pemain untuk mewakili pasukan kebangsaan.

“Walaupun ramai kata kita perlukan pemain warisan, tetapi tidak semestinya. Dalam bola sepak, yang penting ialah kualiti dan prestasi seseorang pemain berada pada tahap tertinggi untuk layak mewakili Malaysia,” katanya.

Beliau pada masa sama berkata ramai pemain tempatan mempunyai potensi besar, namun perlu memperkukuh aspek disiplin, kerja keras dan komitmen untuk mencapai tahap tertinggi.

Justeru, Mohd Yusoff berharap sejarah yang dicipta Arif Aiman yang juga Pemain Paling Bernilai Anugerah Bolasepak Kebangsaan empat kali berturut-turut itu dapat menjadi pemangkin semangat kepada semua pemain muda untuk berjaya.

Turut tercalon bagi anugerah Pemain Terbaik Tahunan AFC ialah penyerang Qatar Akram Afif yang berpeluang muncul pemain pertama memenangi anugerah itu sebanyak tiga kali dan pemain sayap Salem Al Dawsari yang berhasrat menjadi rakyat Arab Saudi pertama memenanginya sebanyak dua kali.

Arif Aiman merupakan pemain kedua dari Asia Tenggara selepas Therdsak Chaiman dari Thailand yang pernah tercalon pada 2003.

Pemenang akan diumumkan pada Anugerah AFC 2025 di Riyadh, Arab Saudi pada Jumaat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan