KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Skuad menembak kebangsaan menampilkan barisan penembak handalan untuk memburu kejayaan cemerlang pada Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.
Pengurus pasukan menembak ke Sukan SEA 2025 Mejar (B) Jasni Shaari berkata sandaran utama kejayaan diletakkan pada Johnathan Wong, Nur Suryani Mohamed Taibi dan Alia Sazana Azahari, yang berpengalaman luas beraksi di pentas antarabangsa termasuk Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia.
Beliau berkata sebanyak 29 atlet akan menggalas cabaran negara dalam tiga acara utama membabitkan pistol, ‘rifle’ dan ‘shotgun’ di Thailand.
“Tidak dinafikan Vietnam dan Indonesia kuat, tetapi mereka juga gentar dengan kita. Kita ada penembak handalan kita, Johnathan, Nur Suryani dan Alia, semuanya berpengalaman menembak di pentas antarabangsa.
“Jadi kita jangkakan ada banyak pingat, emas boleh dapat hingga empat,” katanya kepada pemberita sewaktu kunjungan Ketua Kontinjen Sukan SEA 2025 Nurul Huda Abdullah, di venue latihan skuad menembak di Gimnasium 3 Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini hari ini.
Beliau turut menyifatkan barisan atlet kali ini mempunyai kemampuan untuk mencabar gelaran juara keseluruhan temasya sukan dwitahunan itu.
Sementara itu, Alia Sazana hanya menyasarkan untuk meraih kilauan emas dalam acara 25 meter (m) pistol sekali gus menebus kekecewaan membawa pulang perak pada edisi 2021 di Hanoi, Vietnam.
“Dalam hati dan fikiran saya hanya terlintas tentang emas (pingat) 100 peratus, tetapi pada akhirnya tiada siapa yang tahu. Saya akan berjuang, saya tidak akan berputus asa,” kata atlet berusia 33 tahun itu yang bakal membuat penampilan keempat di Sukan SEA.
Sukan SEA 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Dis di tiga wilayah iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial