SUKAN > BERITA

BERBASIKAL TREK PARA DUNIA: MOHAMMAD YUSOF HAFIZI RAIH PERAK 1KM UJIAN MASA

17/10/2025 02:56 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Atlet para negara Muhammad Yusof Hafizi Shaharuddin mencipta sensasi apabila meraih pingat perak pada Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2025 di Rio de Janeiro, Brazil awal pagi tadi.

Atlet berusia 28 tahun yang beraksi dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa kategori MC1 pada kejohanan itu mencatat masa 1:15.432 saat (s), ketinggalan 0.25 saat di belakang pemenang pingat emas dari Sepanyol Ricardo Ten Argiles, manakala gangsa dimenangi atlet neutral Ivan Ermakov (1:17.657s).

Terdahulu, Mohammad Yusof Hafizi berjaya memecah rekod kebangsaan acara berkenaan ketika melayakkan diri ke pusingan akhir dengan catatan masa 1:14.117s.

“Kejayaan ini membuka peluang lebih besar apabila beraksi pada Sukan Para ASEAN di Korat, Thailand dan Sukan Para Asia di Nagoya, Jepun pada 2026,” kata jurulatih skuad berbasikal para negara Sallehudin Mohd Noh.

Mohammad Yusof Hafizi masih berpeluang memperoleh pingat dalam acara seterusnya iaitu pecut 200m pada hari ketiga perlumbaan nanti, sekali gus diharap akan memberikan saingan dalam acara itu. 

Dalam pada itu, pasukan tandem pecut berpasukan campuran negara yang dibarisi Mohd Khairul Hazwan Wahab-Muhammad Khairul Adha Rasol serta gandingan Nur Suraiya Muhammad Zamri-Farina Shawati Mohd Adnan menamatkan saingan di tempat keempat selepas tewas kepada pasukan Great Britain dalam perebutan tempat ketiga dengan catatan masa 52.729s, berbanding 50.406s yang dilakukan pencabar.

Bagi acara 1km ujian masa kategori MC5 pula, pelumba negara Zuhairie Ahmad Tarmizi menamatkan saingan di tempat kesepuluh dengan catatan masa 1:08.571 pada peringkat kelayakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan