SUKAN > BERITA

HARIMAU MALAYA MASIH BERBISA TANPA TUJUH PEMAIN WARISAN - NIZARUDDIN

18/10/2025 02:56 PM

HULU LANGAT, 18 Okt (Bernama) -- Pasukan bola sepak kebangsaan sebenarnya mampu memberikan aksi yang mantap meskipun tanpa kelibat tujuh pemain warisan yang digantung ketika ini, kata bekas pemain skuad Harimau Malaya Mohd Nizaruddin Yusof.

Beliau berkata dua kemenangan menentang Laos pada aksi Pusingan Kelayakan Piala Asia 2026 tempoh hari, yang menyumbang kepada kenaikan ranking di kedudukan ke-118 dunia membuktikan skuad kendalian Peter Cklamovski masih berbisa.

Mohd Nizaruddin berkata perkembangan positif itu membuktikan skuad Harimau Malaya masih mempunyai pemain berkualiti.

“Apa yang skuad kebangsaan tampilkan ketika menentang Laos, saya nampak kita boleh bergantung harap dengan pemain yang ada ketika ini.

“Seperti kita tahu, skuad Harimau Malaya masih ada untuk diangkat dalam perlawanan antarabangsa. Saya juga boleh katakan ini adalah persembahan terbaik skuad Malaysia selepas penggantunggan tujuh pemain,” katanya ketika ditemui pada Klinik Bola Sepak: Ini Padang Kita di sini hari ini.

Mohd Nizaruddin berkata meskipun Laos bukanlah lawan sebenar Harimau Malaya, beliau berharap momentum itu dapat dikekalkan untuk perlawaan seterusnya menentang Nepal pada November ini.

“Kita berharap pemain-pemain sedia ada ini kalau jumpa lawan yang lebih kuat harap dapat memberi impak positif kepada pasukan kebangsaan,” katanya.

Bulan lepas, FAM dan tujuh pemain naturalisasi iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel dihukum oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Susulan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa daripada tarikh notis keputusan dikeluarkan pada 6 Okt.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan