PETALING JAYA, 18 Okt (Bernama) -- Legenda badminton negara Datuk Seri Lee Chong Wei dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sekali gus menandakan langkah penting badan induk itu dalam memperkasa semula kecemerlangan sukan berkenaan.
Presiden BAM Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelantikan Chong Wei bersama tiga lagi ahli majlis baharu dibuat berdasarkan kepakaran dan pengalaman luas mereka dalam bidang masing-masing.
“Kita melantik empat ahli baharu Majlis BAM. Selain Datuk Seri Lee Chong Wei, kita ada Tan Sri Gooi Hoe Soon, Datuk Seri Shazalli Ramly dan Datuk Sunil Abraham. Mereka semua pakar dalam bidang masing-masing.
“Dalam mesyuarat Majlis BAM, kita juga bersetuju dengan pelantikan pengerusi bagi hampir semua jawatankuasa dan empat individu ini akan mengetuai jawatankuasa berkenaan. Datuk Seri Lee Chong Wei, sebagai contoh, akan mengetuai Jawatankuasa Prestasi,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM di sini, hari ini.
Tengku Zafrul berkata BAM turut menyusun semula struktur jawatankuasa sedia ada dengan melantik sembilan pengerusi daripada 10 jawatankuasa yang diwujudkan dan semuanya membabitkan ahli majlis.
“Selain itu, kita juga akan menjemput pakar luar berdasarkan pengalaman, minat dan kepakaran mereka dalam badminton,” katanya sambil mengesahkan beliau tidak akan mempengerusikan mana-mana jawatankuasa.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Mesyuarat Majlis BAM hari ini turut secara rasmi menerima pakai Pelan Tangkis 2030, yang sebelum ini dibentangkan pada Ogos, sebagai pelan hala tuju rasmi BAM untuk bergerak ke hadapan.
Beliau turut menegaskan bahawa Tangkis 2030 bukan hanya pelan untuk BAM semata-mata, sebaliknya melibatkan keseluruhan ekosistem badminton negara.
“Perlu difahami bahawa BAM hanya boleh berperanan dengan berkesan jika berada dalam kedudukan kewangan yang kukuh. Oleh itu, pengembangan usaha pelaburan dan komersial akan menjadi fokus utama BAM untuk memastikan kejayaan pelan ini,” katanya.
Sementara itu, Chong Wei berkata keutamaan utamanya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Prestasi ialah bekerjasama rapat dengan semua jurulatih bagi meningkatkan prestasi atlet negara.
“Saya perlu berganding bahu dengan jurulatih untuk mengenal pasti masalah atlet — kadang-kadang mereka menang, kadang-kadang kalah — jadi kita perlu faham apa yang sebenarnya berlaku ketika kejohanan. Itu perkara pertama yang saya mahu teliti.
“Saya akan bekerja keras bersama jurulatih untuk melihat bagaimana kita boleh membantu atlet meningkatkan prestasi,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial