SEPANG, 24 Okt (Bernama) -- Keadaan cuaca mendung tidak menghalang pelumba Sepanyol, Pedro Acosta daripada muncul pelumba terpantas pada sesi latihan MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Pelumba Red Bull KTM Factory Racing itu menamatkan sesi berkenaan dengan catatan masa 1 minit 57.559 saat (s), mengatasi Johann Zarco (Castrol Honda LCR) di tempat kedua dengan masa 1:57.578s , manakala Jack Miller (Prima Pramac Yamaha) ketiga terpantas dengan 1:57.840S.
“Bukan cara terbaik untuk memulakan sebuah sesi dan saya mohon maaf kepada semua kerana ia bukan cara terbaik untuk mendapatkan kelajuan. Ia tidak termasuk dalam perancangan saya untuk kehilangan banyak masa pada awal sesi seperti yang berlaku hari ini.
“Namun begitu, saya berpuas hati dengan rentak yang ditunjukkan selepas terjatuh pada sesi Latihan Bebas 1 (FP1) serta gembira dengan kedua-dua percubaan masa yang dilakukan,” katanya ketika ditemui selepas sesi tamat.
Sementara itu, bagi kelas Moto2, pelumba Sepanyol Manuel Gonzalez daripada Liqui Moly Dynavolt Intact GP mencatat masa terpantas 2:04.166s diikuti Jake Dixon (Elf Marc VDS Racing Team) dengan 2:04.218s, manakala Albert Arenas (Gresini Moto2) ketiga terpantas dengan 2:04.282s.
Dua pelumba negara daripada Petronas MIE Racing RW, Azroy Hakeem Anuar dan Muhammad Helmi Azman, masih bergelut mencari rentak terbaik apabila masing-masing menamatkan sesi di kedudukan ke-29 ( 2:07.853S) dan terakhir (2:08.279s).
Bagi kelas Moto3, pelumba Red Bull KTM Ajo, Jose Antonio Rueda bergelar pelumba terpantas apabila melakukan catatan 2:11.152s diikuti rakan sepasukannya Alvaro Carpe kedua terpantas (2:11.187s), manakala pelumba Liqui Moly Dynavolt Intact, Brian Uriarte di tempat ketiga (2:11.202s).
Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, yang mewakili AEON Credit SIC Racing MSI, turut mempamerkan aksi memberangsangkan apabila menduduki tempat kelapan (2:11.317s) pada sesi FP1 sebelah pagi. Namun, momentum itu tidak kekal apabila beliau menamatkan sesi berikutnya di tempat ke-11 (2:11.820s).
Walau bagaimanapun, pelumba berusia 18 tahun itu sudah mengesahkan tempat ke sesi kelayakan kedua (Q2) esok selepas berada dalam kelompok 14 pelumba terpantas berdasarkan keputusan keseluruhan sesi latihan rasmi hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial