SEPANG, 25 Okt (Bernama) -- Hasrat pelumba muda negara Muhammad Hakim Danish Ramli untuk bermula di petak hadapan kejuaraan MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia 2025 kelas Moto3 tidak kesampaian selepas menamatkan sesi Kelayakan 2 (Q2) di tempat ke-14 di Litar Antarabangsa Sepang hari ini.
Pelumba berusia 18 tahun itu beraksi atas tiket wildcard buat pasukan Aeon Credit SIC Racing yang terdahulu meraih kedudukan keenam pada sesi Latihan Bebas 2 (FP2) menerusi catatan 2 minit 10.576 saat (s) bagaimanapun mencatat masa lebih perlahan iaitu 2:11.487s.
Pelumba Leopard Racing, David Almansa menyambar petak pertama selepas melakukan catatan 2:09.846s diikuti pelumba Honda Team Asia, Taiyo Furusato (2:09.940s).
Juara bagi musim 2025, Jose Antonio Rueda mewakili Red Bull KTM Ajo pula di petak ketiga (2:10.076s).
Muhammad Hakim Danish mengakui beliau melakukan beberapa kesilapan dan hampir terjatuh semasa sesi kelayakan, namun tetap berazam memberikan saingan terbaik pada perlumbaan esok walaupun mengakui ia lebih mencabar berbanding saingan JuniorGP dan Red Bull Rookies Cup.
“Pada sesi kelayakan tadi saya ada buat beberapa kesilapan dan hampir terjatuh tapi dapat tangani dengan baik. Saya cuba untuk perbaiki kedudukan dan catatan masa saya.
“Perlumbaan esok pastinya sukar tapi saya tetap akan berusaha,” katanya kepada pemberita selepas sesi kelayakan hari ini.
Dalam pada itu, dua pelumba wildcard negara dalam kelas Moto2, Azroy Hakeem Anuar dan Muhammad Helmi Azman daripada Petronas MIE Racing RW akan memulakan perlumbaan di tempat ke-29 dan terakhir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial