SUKAN > BERITA

MOTOGP 2025: ALEX MARQUEZ SAH NAIB JUARA, BAGNAIA MENANG PERLUMBAAN PECUT

25/10/2025 06:24 PM

SEPANG, 25 Okt (Bernama) -- Pelumba BK8 Gresini Racing MotoGP, Alex Marquez mengesahkan status selaku naib juara dunia MotoGP 2025 selepas menamatkan perlumbaan pecut Grand Prix (GP) Malaysia di tempat kedua di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Adik kepada juara dunia Marc Marquez itu meraih sembilan mata hasil kedudukan podium berkenaan, sekali gus mengumpul keseluruhan 388 mata walaupun saingan musim ini masih berbaki dua pusingan — GP Portugal dari 7 hingga 9 Nov dan GP Valencia dari 14 hingga 16 Nov ini.

Dalam masa sama, kedudukan tempat ketiga keseluruhan turut berubah apabila pelumba Ducati, Francesco Bagnaia (286 mata) memintas pelumba Aprilia Racing, Marco Bezzecchi (285 mata).

Perlumbaan pecut 10 pusingan itu menyaksikan Bagnaia muncul juara dengan catatan masa 19 minit 53.725 saat (s), diikuti Alex (19:55.984s) dan rakan sepasukannya Fermin Aldeguer (19:56.863s) di tempat ketiga.

Alex mengakui kejayaan itu sesuatu yang tidak dijangka, apatah lagi ketika abangnya, Marc, masih dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan bahu yang memaksanya menamatkan musim lebih awal.

“Marc kini berada di rumah dan saya gembira dapat melakar sejarah ini. Kami masih ada tiga perlumbaan untuk dinikmati, mencuba beberapa perkara untuk musim depan, tetapi yang utama — menikmati setiap detik,” katanya kepada media selepas perlumbaan.

Sementara itu, Bagnaia yang juga juara bertahan di Litar Sepang meluahkan rasa puas hati selepas Berdepan detik mencabar aabila tidak menamatkan saingan di GP Indonesia dan Australia sebelum ini.

“Minggu lalu kami berdepan banyak masalah. Semalam pun masih ada sedikit kesukaran, tetapi hari ini saya lebih kompetitif. Kami perlu faham apa sebenarnya berlaku kerana situasi sebegini jarang terjadi.

“Saya cuba sesuatu yang berbeza hujung minggu ini, dan perubahan itu memberikan keyakinan serta rasa lebih baik ketika menunggang,” katanya.

Perlumbaan utama MotoGP Malaysia akan berlangsung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan