SUKAN > BERITA

MALAYSIA ANTARA NEGARA TERAWAL LANCAR PADANG MINI BAWAH PROJEK ARENA FIFA

25/10/2025 08:53 PM

PETALING JAYA, 25 Okt (Bernama) -- Malaysia muncul antara negara terawal ahli gabungan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang melancarkan padang mini menerusi projek  Arena FIFA, inisiatif global bagi membina 1,000 padang kecil untuk manfaat kanak-kanak di seluruh dunia.

Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kelana di sini dipilih sebagai sekolah pertama di negara ini yang terlibat dalam projek berkenaan, yang merupakan komitmen disuarakan Presiden FIFA, Gianni Infantino, ketika Sidang Kemuncak Sukan Mampan di Paris, Julai tahun lalu.

Setiap padang mini direka berukuran 20x40 meter dan dilengkapi rumput tiruan berkualiti tinggi, pagar keselamatan, dinding serta jaring keliling bagi memastikan keselamatan pemain muda.

Infantino yang hadir bagi merasmikan pelancaran projek berkenaan hari ini yakin inisiatif itu bakal mencetuskan domino effect yang mampu menarik lebih banyak pihak membina kemudahan sama di seluruh negara.

“Ini hanyalah satu contoh usaha yang boleh kita lakukan untuk kanak-kanak. Apabila masyarakat melihat hasilnya, pasti ramai yang mahu mewujudkan FIFA Arena di seluruh Malaysia.

“Kami di sini untuk membantu merealisasikan projek ini bersama kerajaan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan FIFA agar lebih banyak padang seperti ini dapat dibangunkan di negara ini,” katanya pada sidang media di SK Sri Kelana di sini.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin; Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi; dan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John.

Infantino menegaskan komitmen badan induk bola sepak dunia itu untuk memperluas akses kepada kemudahan bola sepak di peringkat akar umbi yang selamat dan inklusif, dengan sasaran membina lebih 1,000 padang mini di seluruh dunia menjelang akhir tahun depan.

Presiden FIFA berusia 55 tahun itu berkata kerja pembinaan sudah dimulakan di kira-kira 20 negara, manakala beberapa lagi projek sedang dijalankan.

Setiap padang mini Arena FIFA dibangunkan dengan penekanan terhadap aspek kelestarian, menggunakan kontraktor tempatan bagi pemasangan rumput tiruan khas serta pagar keselamatan di sekeliling kawasan permainan.

FIFA pula membekalkan sistem padang berkenaan selain menyediakan latihan, panduan dan peralatan untuk penyelenggaraan berterusan.

FIFA melancarkan inisiatif Arena FIFA buat pertama kali di Pusat Bola Sepak Varketili, Georgia, yang dimiliki oleh Persekutuan Bolasepak Georgia (GFF), pada April lalu.

Inisiatif berkenaan bertujuan menyediakan lebih banyak peluang permainan kepada kanak-kanak sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selain memupuk semangat inklusif melalui sukan bola sepak di seluruh dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan