SUKAN > BERITA

KEPUTUSAN FIFA MUNGKIN TIDAK BERUBAH - TUNKU MAHKOTA ISMAIL

25/10/2025 08:10 PM

PETALING JAYA, 25 Okt (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail menjangkakan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara tidak akan berubah.

Baginda sebaliknya berpandangan badan induk bola sepak dunia itu mungkin akan meringankan hukuman kepada FAM dan tujuh pemain warisan terbabit.

“Saya berasa FIFA tidak akan tukar keputusan, cuma kalau mereka tukar pun, mungkin mereka akan ringankan sedikit hukuman tersebut.

“Mereka mungkin akan denda, potong mata Harimau Malaya dan menggantung pemain-pemain terlibat. Berapa lama tempoh penggantungan pemain-pemain itu, kita belum tahu,” titah baginda pada sidang media di Subang Jaya, dekat sini, hari ini.

Tunku Mahkota Ismail turut menegaskan, apa jua keputusan yang bakal diumumkan pada 30 Okt ini, FAM bersama barisan peguam perlu terus berjuang dalam proses rayuan dan membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sekiranya perlu.

Terdahulu, FIFA mengenakan hukuman penggantungan 12 bulan dan denda CHF2,000 (RM10,560) terhadap tujuh pemain warisan termasuk Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.

Hukuman itu dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas mereka didakwa melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen dengan FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).

Tunku Mahkota Ismail pada masa sama menjelaskan laporan yang mencetuskan siasatan oleh FIFA dikatakan datang daripada individu di Vietnam, namun bukan daripada Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF).

“Individu itu dari Vietnam, tetapi bukan daripada FA (VFF). Jadi, kita tidak tahu siapa sebenarnya. Ia bukan setiausaha agung atau presiden VFF, itu yang saya dimaklumkan,” titah baginda.

Tunku Mahkota Ismail turut menyifatkan agak pelik apabila FIFA sanggup melayan aduan sedemikian, sedangkan banyak aduan lain turut diterima badan induk bola sepak dunia itu.

“Bagi saya, agak aneh apabila FIFA memberi perhatian terhadap aduan seperti itu kerana saya pasti mereka menerima banyak aduan daripada pelbagai pihak. Tetapi untuk mereka mengambil tindakan hingga ke tahap ini, saya rasa agak menghairankan,” titah baginda.

Tunku Mahkota Ismail menegaskan projek pasukan kebangsaan yang diilhamkan baginda tidak boleh dianggap gagal susulan isu berkenaan, sebaliknya menegaskan perubahan struktur dan prestasi pasukan menunjukkan perkembangan positif.

Menurut baginda, peningkatan itu jelas dapat dilihat dalam aspek teknikal, taktikal, semangat juang pemain serta pengurusan latihan yang kini lebih tersusun dan profesional, sehingga ranking Harimau Malaya berjaya melonjak ke tangga ke-118 dunia.

Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut menegaskan bahawa dokumen berkaitan pemain warisan bukan palsu, malah sudah disahkan kesahihannya oleh kerajaan.

“Saya percaya berlaku kesilapan teknikal ketika penghantaran dokumen. Jika kerajaan mengesahkan dokumen itu sahih, saya sebagai rakyat Malaysia tidak akan mempersoalkan integriti dan kedaulatan negara saya,” titah baginda.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan