Oleh Amiril Muttaqien Meketar dan Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
Siri pertama laporan khas bersiri berjudul ‘Kanta Jefri’ menyingkap bagaimana Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Jefri Ngadirin cuba menerapkan falsafah dipopularkan bekas pengarah prestasi skuad berbasikal Great Britain Sir Dave Brailsford iaitu ‘marginal gains’ dalam usaha meningkatkan prestasi atlet dan sukan negara.
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Bayangkan seorang atlet tidur di tilam lebih empuk, bangun di bilik dengan pencahayaan sempurna, menikmati sarapan dengan menu lebih seimbang sebelum memasuki pertandingan dengan tubuh segar.
Perubahan kecil itu apabila digabungkan pernah mengubah pasukan Great Britain menjadi kuasa dominan sukan berbasikal di pentas dunia.
Arkitek di sebalik transformasi itu ialah Sir Dave Brailsford, bekas pengarah prestasi skuad berbasikal Great Britain yang memperkenalkan falsafah marginal gains iaitu penambahbaikan sekecil satu peratus dalam setiap tindakan.
Sebelum kehadiran Brailsford pada 2003, skuad berbasikal Great Britain bukanlah gergasi dalam sukan tersebut.
Walau bagaimanapun, falsafah oleh figura berusia 61 tahun itu mencetuskan impak besar hingga membantu negaranya menggondol lapan pingat emas pada Sukan Olimpik Beijing 2008 serta London 2012.
Kini, lebih 10,000 kilometer jauhnya, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin cuba mengadaptasi legasi kejayaan Brailsford di Malaysia.
Jefri berkata kejayaan atlet negara bukan sekadar hasil jutaan ringgit atau pelan strategik tebal, tetapi juga bergantung kepada butiran seharian termasuk menukar menu makanan di kafe MSN setiap dua minggu sekali.
Beliau berkata idea yang mungkin kedengaran remeh itu tercetus ketika sesi libat urus bersama atlet dan jurulatih sebaik beliau dilantik mengetuai MSN April lepas.
“Penukaran menu makanan mendapat maklum balas positif daripada atlet. Mereka lebih gembira dapat tukar-tukar rasa dan sebagainya.
“Sebelum ini menu makanan ditukar setiap dua bulan, jadi atlet bosan tetapi sekarang kita cuba pelbagaikannya. Contohnya, dahulu mereka kerap makan nasi lemak dalam masa dua bulan namun sekarang lebih banyak seperti makanan barat, India, Cina dan sebagainya,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama.
Tidak terhenti pada soal pemakanan, MSN, beliau berkata turut diperkenalkan aktiviti mingguan yang lebih mesra atlet seperti malam karaoke dan barbeku pada hujung minggu.
Jefri berkata langkah tersebut bukan sahaja membantu atlet meningkatkan motivasi malah dapat menikmati pengalaman lebih menyeronokkan serta positif menetap di MSN tidak kira di Bukit Jalil, Kampung Pandan mahupun Nilai.
“Atlet memang nampak gembira dan tiada lagi aduan. Ini kerana ketika atlet berada di asrama mereka berasa bosan, jadi kita mahu pastikan mereka termasuk dalam persekitaran latihan dan dapat menghilangkan tekanan,” katanya.
Selain atlet, Jefri berkata perhatian turut diberikan kepada jurulatih dengan menyediakan peluang pendidikan di peringkat pensijilan serta program penempatan sementara di luar negara bagi mendalami ilmu kejurulatihan terkini.
Menurutnya, MSN juga membuat kerjasama bersama Akademi Kejurulatihan Kebangsaan dan Institut Sukan Negara (ISN) dengan membuat penilailaian kompetensi jurulatih menerusi program dijalankan bermula bulan lepas dan Oktober dalam mengesan kelemahan dimiliki mereka.
Falsafah marginal gains, katanya, turut diperluaskan di peringkat persatuan sukan kebangsaan menerusi penambahbaikan sistematik termasuk sistem penarafan prestasi sukan teras.
Beliau berkata pengenalan sistem penilaian itu berkenaan bagi memastikan persatuan sukan terlibat bertanggungjawab terhadap indeks pencapaian utama ditetapkan seperti menambah penyertaan wanita, memperkukuh tadbir urus dan melahirkan lebih ramai atlet elit dari golongan tersebut.
Menyedari kekurangan atlet wanita elit dimiliki negara ketika ini, Jefri berkata MSN telah meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 disalurkan kepada negeri dan sekolah bagi mengenal pasti bakat dari golongan tersebut bermula bulan lepas dan Oktober.
Dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet berpotensi tinggi pada masa depan, beliau berkata MSN juga melaksanakan program pembangunan Sukan Olimpik di peringkat negeri melibatkan lapan jenis sukan antaranya taekwondo dan angkat berat.
Jefri berkata program tersebut juga mula membuahkan hasil apabila terdapat dua atlet muda berjaya merangkul pingat pada Kejohanan Taekwondo Remaja Asia, Kadet dan Para 2025 di Kuching, Julai lepas.
Pada masa sama, Jefri berkata MSN juga terus bekerjasama rapat dengan ISN dan universiti tempatan untuk memanfaatkan sains sukan, teknologi data serta peralatan berteknologi tinggi.
Katanya, kajian dijalankan ISN serta perbincangan dengan universiti tempatan membantu MSN mengaplikasikan teknologi sukan antaranya bagi berbasikal dan renang dalam program dikendalikan pihaknya sekali gus memastikan prestasi atlet dapat dipertingkatkan.
Tidak cukup dengan itu, Jefri juga menumpukan aspek pembangunan anak buahnya di MSN dilengkapi dengan pengetahuan, kemahiran dan pengurusan terutamanya bagi sukan berprestasi tinggi agar seiring dengan perkembangan sukan masa kini.
Justeru, jika falsafah marginal gains mampu mengubah landskap sukan berbasikal Great Britain, tidak mustahil juga setiap butiran kecil yang digilap dan dibawa Jefri hari ini bakal menyemai detik emas buat Malaysia esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial