SEPANG, 26 Okt (Bernama) -- Alex Marquez mempamerkan aksi menakjubkan untuk merangkul kejuaraan ketiganya musim ini pada perlumbaan motosikal Grand Prix (GP) Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang hari ini.
Pelumba pasukan BK8 Gresini Racing MotoGP yang bermula di petak kedua di belakang juara bertahan GP Malaysia Francesco Bagnaia dari Ducati Lenovo Team tidak menunggu lama untuk membuktikan penguasaannya.
Memasuki pusingan kedua perlumbaan, Marquez melakukan gerakan berani memintas Bagnaia untuk merampas kedudukan pendahulu dan kekal tanpa digugat.
Pelumba berusia 29 tahun itu menempuh bahang litar tanpa menoleh lagi, meninggalkan pencabarnya untuk menamatkan perlumbaan dengan merekodkan 40 minit 09.249 saat.
Pertarungan sengit bagi merebut kedudukan kedua membuatkan peminat sukan permotoran tidak senang duduk apabila pelumba Red Bull KTM Factory Racing Pedro Acosta memberikan tekanan kepada Bagnaia.
Acosta berjaya memintas pada pusingan ke-13, dan kekal konsisten hingga penamat dengan 2.676s di belakang pendahulu.
Kedudukan Bagnaia semakin merosot sebelum memasuki pit dan menarik diri daripada perlumbaan yang berbaki lagi tiga pusingan.
Pelumba Honda HRC Castrol Joan Mir melengkapkan podium di tempat ketiga dengan 8.048s di belakang Marquez.
Setakat hari ini, Marquez mengumpul 413 mata, mengikuti rapat di belakang abangnya Marc Marquez dari Ducati Lenovo Team, yang terpaksa menamatkan musim lebih awal selepas mengalami kecederaan tulang selangka dengan 545 mata.
Marco Bezzecchi dari Aprilia Racing ketiga dengan 291 mata manakala Bagnaia keempat selepas mengutip 286 mata dalam kedudukan carta kejuaraan selepas 20 pusingan.
Perlumbaan seterusnya ialah GP Portugal yang berlangsung pada 7 hingga 9 Nov di Litar Antarabangsa Algarve.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial