SUKAN > BERITA

KANTA JEFRI: SUKAN SEA 2025 JADI UKURAN HALA TUJU SUKAN NEGARA

29/10/2025 12:15 PM

Siri kedua laporan khas bersiri berjudul ‘Kanta Jefri’ akan menjurus kepada harapan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Jefri Ngadirin dalam memulihkan maruah sukan negara pada Sukan SEA 2025 di Thailand selepas episod suram kontinjen Malaysia di Kemboja.

 

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kekalahan adalah sebahagian daripada sukan, namun prestasi hambar kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2023 di Kemboja meninggalkan kesan yang cukup mendalam.

Kegagalan mencapai sasaran serta kemerosotan kedudukan keseluruhan bukan sekadar statistik di atas kertas, sebaliknya mencerminkan realiti getir yang perlu dihadapi bahawa keunggulan sukan Malaysia di peringkat serantau kian tercabar.

Menduduki tempat ketujuh keseluruhan dan gagal mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan, edisi 2023 tercatat sebagai pencapaian terburuk dalam sejarah penyertaan Malaysia di temasya sukan dwitahunan itu.

Jelas, sesuatu mesti dilakukan untuk mengembalikan semangat juang dan martabat sukan negara di pentas serantau dan usaha itu perlu bermula segera memandangkan cabaran lebih besar menanti di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Selepas episod mengecewakan di Kemboja, kini semua tertumpu kepada Sukan SEA 2025 di Thailand dari 9 hingga 20 Dis ini, sebuah medan kebangkitan yang bakal menguji hala tuju dan kemampuan sebenar kontinjen negara.

Di sinilah terletaknya tanggungjawab besar buat Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin, individu yang diamanahkan untuk memulihkan keyakinan dan memperkukuh semula sukan tanah air melalui dasar pembangunan yang mampan, berprestasi tinggi dan berdaya saing.

Selepas mengadakan perjumpaan dengan semua persatuan sukan kebangsaan (NSA) dalam usaha memperkukuh serta mempererat kerjasama sedia ada, beliau yang dilantik pada April lepas menyatakan keyakinan bahawa Malaysia mampu memperbaiki pencapaian di Kemboja.

Jefri berkata keyakinan itu bersandarkan kepada jenis sukan yang dipertandingkan kali ini, yang lebih memihak kepada kekuatan kontinjen negara termasuk skuasy, tenpin boling dan berbasikal.

“Di Kemboja kalau kita tengok pada statistik kebanyakan sukan yang dipertandingkan adalah sukan-sukan tradisi, yang bukan kekuatan kita.

“Kita optimis (pencapaian) kita akan lebih baik daripada edisi di Kemboja dan kita yakin dengan usaha menghantar kontinjen terbaik ke Thailand kali ini akan dapat memberikan pulangan pingat yang lebih baik,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.

Bagi Jefri, Sukan SEA 2025 bukan sahaja penting dalam konteks memburu pungutan pingat yang lebih baik berbanding edisi sebelumnya, tetapi juga sebagai kayu ukur keberkesanan hala tuju pembangunan atlet negara menjelang edisi 2027 apabila Malaysia bakal menjadi tuan rumah.

Beliau berkata perancangan untuk menghantar kontinjen besar dan terbaik ke Thailand diharap akan membuahkan hasil positif, bukan sahaja dari segi kutipan pingat tetapi juga dalam membina semangat, keyakinan dan momentum menuju temasya 2027.

“Ini merupakan pendekatan serampang dua mata supaya kita dapat prestasi yang baik di Thailand dan juga akan dapat prestasi terbaik semasa menjadi tuan rumah nanti,” katanya.

Pada edisi lepas, Vietnam muncul juara keseluruhan apabila mengutip 136 emas, 105 perak dan 114 gangsa, diikuti Thailand 108-95-108 manakala Indonesia di tempat ketiga 85-81-109.

Tuan rumah Kemboja berada di kedudukan keempat dengan mengutip keseluruhan 81 emas, 74 perak dan 126 gangsa diikuti Filipina di tempat kelima 58-86-116 manakala Singapura di posisi keenam 51-42-64.

Malaysia mengutip 34 emas, 45 perak dan 97 gangsa sekali gus menyaksikan penurunan kutipan pingat daripada 39-45-90 yang dimenangi pada edisi 2021 di Hanoi, Vietnam.

Sukan SEA 2025 akan berlangsung di tiga wilayah utama, iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla dengan mempertandingkan 54 jenis sukan merangkumi keseluruhan 574 acara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan