SUKAN > BERITA

KANTA JEFRI: MERANGKA SKRIP BAHARU DI LA28

01/11/2025 09:46 AM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar dan Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

Siri ketiga daripada empat laporan khas bersiri berjudul ‘Kanta Jefri’ akan menumpukan usaha Majlis Sukan Negara (MSN) yang cuba membantu atlet sukan selain badminton, terjun dan berbasikal mencatat kejayaan membanggakan merangkul pingat pada edisi seterusnya di Los Angeles 2028.

 

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Setiap kali Jalur Gemilang berkibar megah di Sukan Olimpik, sejarahnya sering tertulis melalui ‘smash’ badminton, platform terjun ataupun kayuhan berbasikal.

Tiga sukan inilah yang mengikat jutaan rakyat di depan kaca televisyen, membuat debaran berdegup kencang sambil mengharap detik emas sulung Malaysia pada temasya sukan berprestij dunia itu.

Bagaimanapun, perjalanan menuju Los Angeles 2028 (LA28) menuntut strategi lebih berani.

Majlis Sukan Negara (MSN) kini mahu melangkah keluar daripada norma biasa, membuka ruang kepada sukan lain yang selama ini kurang meniti di bibir peminat sukan tanah air tetapi memiliki potensi besar menghadirkan senyuman manis buat negara.

Satu daripadanya ialah menembak, sukan yang menuntut  ketenangan dan fokus tinggi, satu tarikan picu dan helaan nafas, mampu memisahkan kejayaan dan kegagalan.

Bagi merealisasikan misi itu, Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata harapan  disandarkan kepada penembak berpengalaman Johnathan Wong yang pernah beraksi dua kali di pentas Olimpik, iaitu Rio 2016 dan Paris 2024.

Jefri berkata MSN merancang untuk merencanakan program khas bagi atlet berusia 33 tahun termasuk kemungkinan berlatih di Eropah bagi mengasah lagi ketepatan bidikan menjelang LA28.

“Johnathan sudah beraksi dua kali di pentas Olimpik, Dari segi pengalaman, dia memang sudah ada dan pernah merasai cara mengendalikan tekanan selain mempamerkan konsistensi dalam mana-mana kejohanan besar.

“Johnathan mungkin akan “duduk” di Eropah kerana di situ ada banyak kejohanan. Jika di Munich, Jerman, contohnya, setiap minggu dia boleh sertai kejohanan di bandar kecil di sana,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama.

Pendekatan itu, terbukti berkesan apabila India yang muncul kontinjen ketiga terbaik dengan mengumpul enam emas pada Kejohanan Dunia 2023 di Baku, Azerbaijan, hasil program dikelolakan kelab dari negara tersebut di Eropah.

“Kelab menembak dari negara India sangat kuat dan dibiayai individu kaya, ia kelab persendirian. Penembak mereka juga kebanyakan “duduk” di Eropah,” katanya.

Susulan prestasi memberangsangkan badang negara Mohamad Aniq Kasdan yang menduduki tempat keempat bagi kategori 61 kilogram lelaki pada Paris 2024, Jefri berkata pihaknya juga mengorak langkah melantik jurulatih berpengalaman dari Indonesia.

Beliau berkata jurulatih yang pernah membimbing negaranya pada Tokyo 2020 dan Paris 2024 mampu memperkasakan lagi cabaran negara memburu pingat sulung angkat berat di LA28.

Sementara itu, beliau juga berharap sukan terjun mampu kembali menyinar selepas pulang dengan tangan kosong pada Tokyo 2020 dan Paris 2024.

Selepas sering dibayangi penerjun wanita pada Sukan Olimpik sebelum ini, Jefri berkata saingan LA28 menjadi peluang terbaik buat penerjun lelaki menyerlah di Amerika Syarikat lebih-lebih lagi buat Elvis Priestly Clement dan Enrique Maccartney Harold.

Prestasi dilakar gandingan muda menamatkan saingan di tempat ketujuh dalam acara 10m platform seirama lelaki pada Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di Singapura, pencapaian terbaik pernah direkodkan oleh gandingan negara pada saingan tersebut, memberi sinar baharu buat sukan terjun negara.

“Saya rasa menjelang 2028, kita sudah ada satu gandingan acara synchronise (segerak) yang boleh bersaing pada peringkat Olimpik.

“Kalau ikut ranking, sekarang mereka (Elvis-Enrique) ranking kedua Asia. Kita ada tiga tahun lagi untuk persiapkan mereka. Mereka masih muda untuk ke arah Sukan Olimpik 2028,” katanya.

Tidak ketinggalan juga pada tahun ini tiga sukan baharu yang sedang diberi perhatian oleh MSN dengan Jefri memaklumkan mereka memberi peruntukan sebanyak RM600,000 kepada papan selaju, panjat tembok (wall climbing) dan surfing. 

Walaupun komited membantu tiga jenis sukan tersebut untuk mengibar cabaran negara pada Sukan Olimpik, Jefri berkata atlet terlibat juga berdepan cabaran dalam menurunkan ranking mereka sekali gus dapat beraksi pada temasya sukan empat tahun sekali itu.

“Perjalanan masih jauh, jika tidak dapat ke LA28, mungkin boleh cuba pada Sukan Olimpik 2032 di Brisbane, Australia,” katanya.

Malaysia setakat ini telah mengumpul lapan perak dan tujuh gangsa sejak mula menyertai Sukan Olimpik pada edisi 1956 di Melbourne, Australia.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan