SUKAN > BERITA

MIRABEL SEKALI LAGI MUNCUL PEMAIN MALAYSIA TERBAIK PADA KEJOHANAN GOLF MAYBANK LPGA 2025

02/11/2025 08:25 PM

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Bintang muda negara Mirabel Ting sekali lagi muncul sebagai pemain Malaysia terbaik pada Kejohanan Golf Maybank LPGA 2025 selepas menamatkan saingan sebagai pemain tempatan terbaik buat tahun kedua berturut-turut — kali ini sebagai pemain profesional.

Pemain berusia 19 tahun itu, yang beraksi dalam kejohanan Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) bernilai USD3 juta (RM12.6 juta) itu menamatkan pusingan akhir hari ini dengan catatan satu atas par 73.

Selepas empat pusingan di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC), Mirabel menutup saingan dengan jumlah keseluruhan tiga bawah par 285, sekali gus berkongsi kedudukan ke-49 (tempat ke-55) bersama enam lain pemain.

Pada edisi lepas ketika masih bergelar pemain amatur, Mirabel turut muncul sebagai pemain tempatan terbaik apabila berkongsi tempat ke-12 bersama lima pemain lain dengan catan 12 bawah par 276 di venue sama.

Pemain kelahiran Miri, Sarawak, yang merekodkan catatan 67-75-70 pada tiga pusingan pertama, mengakui tidak beraksi pada tahap terbaik namun tetap berpuas hati dengan prestasi keseluruhan.

“Peralihan daripada pemain amatur kepada profesional sebenarnya tidak banyak beza dari segi permainan di padang,” katanya yang memulakan karier profesional tahun ini.

Mengulas perancangannya selepas ini, Mirabel berkata beliau kini memberi tumpuan untuk mendapatkan kad penyertaan Jelajah LPGA dan mahu menjadikan tahun 2026 sebagai tahun yang menyeronokkan serta aktif dalam kariernya.

Sementara itu, pemain profesional negara Kelly Tan dan Genevieve Ling menamatkan saingan  dengan catatan dua bawah par 286 untuk berkongsi di tempat ke-56 dengan empat pemain lain.

Dua lagi pemain Malaysia, Ashley Lau menamatkan saingan di tempat ke-70 dengan catatan keseluruhan dua atas par 290 manakala Liyana Durisic  berada di kedudukan ke-72 dengan empat atas par 292.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan