SUKAN > BERITA

YAMASHITA TAKLUK GOLF MAYBANK LPGA SELEPAS AKSI 'PLAY-OFF' MENDEBARKAN

02/11/2025 08:30 PM

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Pemain nombor enam dunia Miyu Yamashita dari Jepun menampilkan ketenangan luar biasa untuk menjulang kejuaraan Golf Maybank LPGA 2025 selepas melalui detik mendebarkan DALAM saingan 'play-off’ tiga penjuru di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) di Bukit Kiara di sini hari ini.

Penentuan 'play-off’ terpaksa dilakukan untuk mengesahkan juara kejohanan Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (PGA) apabila Yamashita, pendahulu semalaman Choi Hye-Jin dari Korea Selatan serta pemain Australia  Hannah Green terikat 18 bawah par 270 di akhir pusingan keempat.

Pada pusingan akhir, Yamashita mencatat pusingan bebas bogey, hasil tujuh birdie di lubang pertama, kedua, kelima, ke-0, ke-11, ke-13 dan ke-16 melakar tujuh bawah par 65, manakala Green (68) dan Hye Jin satu atas par 73, sekali gus terpaksa melangkah ke pusingan 'play-off’.

Permainan yang beberapa kali tergendala akibat hujan tidak menjejaskan fokus Yamashita, apabila pemain berusia 24 tahun itu kekal tenang dan memastikan kemenangan di lubang par-lima ke-18 pada saingan penentuan untuk mengecewakan dua pencabar terdekatnya.

“Terdapat banyak gangguan permainan hari ini disebabkan cuaca, namun saya berjaya kekal fokus dan mengawal permainan. Saya hanya mendengar muzik untuk menenangkan diri sebelum aksi ‘playoff’,” katanya Yamashita  kepada media.

“Saya cuma mahu memburu birdie — dan saya lakukannya,” kata Yamashita sambil tersenyum dan membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah USD450,000 (RM1.88 juta) .

.Beliau turut meluahkan penghargaan kepada peminat di Malaysia yang disifatkannya sangat mesra dan mengalu-alukan kehadirannya, sambil menambah bahawa beliau semakin menyukai negara ini dan berharap dapat kembali lagi.

Sementara itu, selaku naib juara bersama, Green dan Hye-Jin berkongsi hadiah wang tunai USD282,279 (RM1.18 juta).

Dalam pada itu, juara bertahan dari China,  Yin Ruoning, menamatkan saingan  di tangga ke-12 dengan catatan 14 bawah par 274 selepas menutup pusingan akhir dengan dua bawah par 70.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan