SUKAN > BERITA

KANTA JEFRI: KELAB KOMUNITI WADAH REFORMASI EKOSISTEM SUKAN

04/11/2025 09:17 AM

Siri terakhir dari empat laporan khas bersiri berjudul ‘Kanta Jefri’ menerangkan hasrat Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Jefri Ngadirin yang mahu melihat kelab berasaskan komuniti berkembang pesat sekali gus mampu mencetuskan reformasi dalam ekosistem sukan negara.

 

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Di sebalik sorakan di stadium, kehangatan kejohanan antarabangsa dan kejayaan atlet negara, terdapat dimensi yang sering kali kurang diberi perhatian umum.

Ramai hanya melihat kejayaan di pentas besar, sedangkan asas kepada ekosistem sukan bermula lebih awal iaitu pada peringkat akar umbi.

Dalam konteks itu, kelab berasaskan komuniti dilihat sebagai komponen penting, namun peranannya masih kerap dipandang ringan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin yang berhasrat melihat kelab berasaskan komuniti berkembang pesat, berpendapat inisiatif itu bukan sekadar ruang untuk bersukan.

“Jadi bila kelab-kelab pada peringkat komuniti ditubuhkan, ia akan mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan dan mereka akan dapat pendanaan daripada bayaran yuran ahli-ahli mereka sendiri.

“Dan ini akan dapat menyemarakkan lagi pembangunan sukan pada peringkat akar umbii dan akhirnya akan menterjemahkan kepada lebih ramai atlet yang akan dapat dilahirkan untuk prestasi tinggi,” katanya dalam temu bual ekslusif bersama Bernama baru-baru ini.

Jefri berkata model kelab komuniti bukan lagi asing di negara yang cemerlang di pentas sukan antarabangsa antaranya Australia, New Zealand dan Singapura.

Beliau turut memberikan contoh perkembangan semasa yang semakin positif di negara ini, apabila selain bola sepak, beberapa sukan lain turut mempunyai kelab aktif seperti hoki, olahraga, renang, tenpin boling dan seni mempertahankan diri.

Jefri berkata Rayzam Shah Athletics Club iaitu kelab olahraga milik bekas atlet pecut lari berpagar negara Rayzam Shah Wan Sofian di Kota Kinabalu, Sabah telah berjaya menganjurkan kejohanan hingga menarik penyertaan ribuan peserta.

“Kalau semua sukan ada kelab-kelab yang berkembang maju di akar umbi, ia akan mengurangkan beban untuk kita membuat pembangunan pada peringkat lebih bawah. Jadi kita akan fokus pada prestasi, yang bawah (hal-hal) kelab-kelab itu yang akan buat,” kata Jefri.

Konsep kelab berasaskan komuniti dilihat seiring dengan keperluan semasa, memandangkan banyak persatuan sukan di Malaysia masih terlalu bergantung kepada peruntukan kerajaan dan agensi sukan utama.

Model kelab komuniti bukan sahaja membolehkan pembiayaan diperoleh secara lebih mampan, bahkan membuka ruang kepada penajaan swasta serta penglibatan akar umbi secara aktif.

Dengan adanya sistem kelab yang kukuh, pembangunan pada peringkat bawah akan digerakkan oleh komuniti itu sendiri, sekali gus membolehkan MSN serta persatuan sukan kebangsaan memberi fokus khusus kepada aspek prestasi tinggi.

Beliau dalam masa sama menegaskan bahawa pembangunan sukan negara tidak hanya bergantung kepada peruntukan, sebaliknya turut menuntut tadbir urus yang baik di peringkat persatuan.

“Persatuan selalu cakap tak cukup peruntukan, tapi sekiranya pada peringkat persatuan itu sendiri masih lagi bertelagah tentang siapa yang perlu dipilih sebagai presiden, tidak ada tatakelola baik, masih lagi terlibat dengan kes bermacam-macam, jadi ini akan menjejaskan pembangunan sukan secara menyeluruh.

“Pada peringkat MSN, kita sentiasa cuba membantu persatuan dengan lebih banyak peruntukan, tetapi pengalaman kita, lebih banyak peruntukan tidak dapat diterjemahkan kepada prestasi jika pada peringkat persatuan sendiri masih lagi kacau-bilau,” katanya.

Jefri dilantik sebagai Ketua Pengarah MSN ke-10 berkuat kuasa pada 4 April 2025.

Beliau memulakan kerjaya di MSN sebagai pegawai di Bahagian Pembangunan pada 1993 dan kemudiannya menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam Pentadbiran Perniagaan di University of Miami, Florida, Amerika Syarikat, sebelum kembali meneruskan khidmat di MSN pada 1999.

Antara tanggungjawab dipikulnya dalam MSN ialah Ketua Unit Sukan Teras, Pengarah Cawangan Pelapis dan Pengarah Bahagian Atlet, sebelum dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) pada 8 Jan 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan