SUKAN > BERITA

BOLING PADANG PIALA DUNIA: EMMA FIRYANA RANGKUL JUARA ACARA SINGLES

08/11/2025 06:55 PM

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Atlet wanita negara, Emma Firyana Saroji melakar sejarah tersendiri apabila merangkul gelaran juara acara singles pada Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2025 di sini hari ini.

Pada aksi penentuan emas berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara, pemain ranking ke-12 dunia itu diberikan tentangan sengit pemain England, Kathrine Rednall, apabila terikat seri 5-5 pada set pertama sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Di set penentuan, Kathrine yang menghuni ranking ke-43 dunia mendahului seketika dengan 3-2 sebelum atlet kelahiran Selangor itu bangkit memutlakkan kemenangan 6-5 di penghujung babak.

Kemenangan itu melunaskan misi ‘balas dendam’ Emma Firyana selepas tewas kepada lawan sama di peringkat kumpulan.

“Sangat gembira dan teruja dapat memenuhi misi saya untuk untuk menang pingat emas buat negara.

“Makna kemenangan ini sangat besar. Kalau ikutkan ini kali ketiga untuk tahun ini saya mewakili negara selepas dikeluarkan daripada skuad (semasa COVID-19),” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Terdahulu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang juga Penaung Diraja Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) berkenan menyaksikan aksi final tersebut.

Sementara itu, dalam kategori singles lelaki, Izzat Shameer Dzukeple terpaksa berpuas hati berkongsi pingat gangsa dengan wakil Australia, Corey Wedlock.

Satu lagi pingat gangsa kem boling pada negara disumbangkan Jariah Zakaria dalam acara singles para wanita, berkongsi dengan pemain Scotland, Pauline Wilson.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan